Merokok di premis makanan: Cuepacs gesa KKM wujudkan pasukan khas

Cuepacs gesa KKM wujudkan pasukan khas bagi menguatkuasakan larangan merokok di premis larangan makanan.
Cuepacs gesa KKM wujudkan pasukan khas bagi menguatkuasakan larangan merokok di premis larangan makanan.
A
A
A

SHAH ALAM - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menggesa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mewujudkan pasukan khas bagi menguatkuasakan larangan merokok di premis larangan makanan.

Presidennya, Datuk Dr Adnan Mat berkata, kumpulan tersebut terdiri daripada Pegawai Kesihatan Persekitaran (PKP) dan Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran (PPKP).

Menurutnya, walaupun lebih 5,000 jawatan PKP dan PPKP yang wujud, namun ia tidak mampu menguatkuasakan sepenuhnya.

“Ini kerana mereka turut dibebani dengan tugas kawalan penyakit berjangkit, vektor, pemantauan kualiti dan keselamatan makanan.

“Sekiranya kerajaan ingin melihat kejayaan penguatkuasaan ini, maka pewujudan jawatan khas dan penambahan jawatan PPKP dan PKP amat diperlukan bagi menjayakan aktiviti penguatkuasaan larangan merokok terutama di premis makanan,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Tambah Adnan, pihaknya memohon supaya KKM dapat memastikan jawatan kontrak bagi dua jawatan tersebut diserap menjadi pekerja tetap dan menentukan kejayaan di dalam aktiviti kesihatan rakyat.

Ujarnya, mereka akan terus berkhidmat dalam aktiviti kawalan dan pencegahan penyakit berjangkit penguatkuasaan undang-undang kesihatan awam dapat dipertingkatkan bagi kesejahteraan dan kesihatan rakyat Malaysia terjamin.

“Kita tidak mahu setiap undang-undang yang dilaksanakan hanya sekadar di atas kertas sahaja kerana langkah menguatkuasakan undang-undang tersebut tidak dapat dilakukan hanya disebabkan kekurangan anggota penguat kuasa.

Artikel Berkaitan:

“Pada akhirnya sudah tentu rakyat tidak mendapat manfaat daripada setiap undang-undang yang dibuat untuk melindungi mereka daripada sesuatu perkara yang membawa kemudaratan,” jelasnya.

Sementara itu, Adnan mendedahkan hampir 80 peratus responden yang disoal selidik bagi Laporan Global Adult Tobacco Survey (GATS) 2023 mendapat pendedahan asap rokok melalui premis makanan dan restoran.

Menurutnya, dapatan itu sudah tentu mengejutkan kerana lokasi itu menyediakan persekitaran selamat dan bebas daripada asap rokok memandangkan ianya premis yang menerima kunjungan orang setiap hari.

“Pelbagai tindakan dan aktiviti penguatkuasaan dilakukan oleh pihak berkuasa dalam memastikan pematuhan kawasan larangan merokok, namun masih tetap ada pihak yang berdegil dan enggan mematuhi peraturan yang ditetapkan.

“Jumlah Pencapaian Tindakan Penguatkuasaan dan Perundangan Kesihatan Awam melaporkan bagi bulan April 2024 di bawah Penguatkuasaan Peraturan-peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 memaklumkan daripada 17,719 premis dilawati, sejumlah 7195 notis kesalahan dikeluarkan dengan nilai tawaran berjumlah RM1,015,950,” jelasnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!