Kes saman Teresa Kok, Jamal mula 29 April

Teresa Kok, Jamal
A
A

KUALA LUMPUR - Kes saman Menteri Perusahaan Utama, Teresa Kok terhadap Ketua Umno Sungai Besar Datuk Seri Jamal Md Yunos yang didakwa memfitnahnya berhubung dana Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS) akan diteruskan dengan perbicaraan bermula 29 April depan.

Peguam K. Murali yang mewakili Kok ketika ditemui pemberita berkata ini berikutan pihaknya tidak menerima sebarang arahan daripada anak guamnya untuk mempertimbangkan penyelesaian kes saman tersebut melalui proses mediasi.

Beliau berkata demikian selepas pengurusan kes itu di hadapan Hakim Datuk Ahmad Bache untuk memaklumkan status mediasi bagi penyelesaian kes tersebut yang turut dihadiri peguam Mohd Nasir Yusof mewakili Jamal.

Pada 11 Disember lalu, mahkamah itu telah mencadangkan kedua-dua pihak untuk menyelesaikan kes itu secara baik melalui proses mediasi. Mahkamah itu juga menetapkan dua hari bermula 29 April untuk perbicaraan jika tiada sebarang penyelesaian dicapai.

Pada 6 April 2017, Kok memfailkan saman terhadap Jamal berhubung dakwaan Jamal telah mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah terhadapnya berkaitan dana Yawas ketika mengadakan sidang media pada 8 Mac 2017.

Dalam penyataan tuntutan itu, Kok mendakwa kenyataan berkenaan telah disiarkan oleh media cetak dan elektronik termasuk di laman sosial Facebook milik Jamal.

Ahli Parlimen Seputeh itu mendakwa kenyataan fitnah tersebut antara lain memberikan gambaran bahawa beliau telah menyalahgunakan dana kerajaan negeri untuk kegunaan sendiri dan seorang yang tidak beretika.

Oleh itu, plaintif menuntut ganti rugi am sebanyak RM1 juta, ganti rugi pampasan, ganti rugi teruk dan teladan serta perintah injuksi bagi menghalang defendan atau mana-mana ejennya daripada menerbitkan semula kenyataan fitnah berkenaan. - Bernama