[VIDEO] Ranting Hati jadi tempat jemaah luah perasaan

A
A
A

MAKKAH - Unit Kaunseling Tabung Haji (TH) membuat satu inisiatif baharu untuk mendekatkan diri dengan jemaah haji Malaysia menerusi kaedah penulisan Ranting Hati.

Kaunselor Mohd Najib Harun berkata, ‘pohon’ Ranting Hati ini merupakan tempat jemaah haji meluah perasaan sepanjang menunaikan ibadat di Tanah Suci Makkah menerusi kaedah penulisan.

Menurutnya, kaedah seumpama itu diwujudkan buat pertama kalinya dan mekanisme seperti ini tidak menggunakan kaunselor sebaliknya melibatkan jemaah dengan jemaah yang lain.

Mohd Najib memberi penerangan tentang Ranting Hati yang merupakan kaedah penulisan supaya jemaah dapat meluahkan isi hati. Unit Kaunseling ini terletak di Ibu Pejabat TH di Hotel Abraj Al-Janadriyah.
Mohd Najib memberi penerangan tentang Ranting Hati yang merupakan kaedah penulisan supaya jemaah dapat meluahkan isi hati. Unit Kaunseling ini terletak di Ibu Pejabat TH di Hotel Abraj Al-Janadriyah.

“Ranting hati diwujudkan supaya jemaah boleh luahan isi hati atau kata-kata semangat untuk diberikan kepada jemaah lain. Sejak seminggu kaedah ini dibuat, didapati jemaah menyambut baik.

“Penulisan ini juga boleh memberi kesan kepada jemaah lain kerana apabila luahan ini dibaca jemaah akan merasakan diri tidak keseorangan dan orang lain pun turut berdepan masalah sama. Persamaan ini secara tidak langsung merendahkan tahap tekanan mereka,” katanya ketika ditemui media di Ibu Pejabat TH di Hotel Abraj Al-Janadriyah.

Mohd Najib berkata, setakat ini pihak kaunseling dapat melihat beberapa jenis luahan berdasarkan penulisan jemaah.

“Salah satu daripadanya tentang kerinduan seperti rindukan keluarga. Manakala ada luahan yang menceritakan tentang daya tahan untuk menerima perubahan kehidupan di Tanah Suci.

Artikel Berkaitan:

“Ini kita boleh lihat daripada penulisan seperti ‘mudah-mudahan hati terus cekal, kuat dan ‘Ya ALLAH berilah aku kekuatan’,” katanya.

Beliau berkata, terdapat pelbagai pengalaman sepanjang seminggu pohon Ranting Hati diwujudkan termasuk ada jemaah yang menulis secara sembunyi.

“Ada jemaah yang tidak mahu kita jumpa dia lama-lama dan ada yang tulis luahan secara sorok-sorok. Kita tahu kalau ia ditulis dengan cara sebegitu, penulisannya memang lahir dari dalam isi hati,” katanya.

Menurutnya, selain menggalakkan jemaah meluahkan isi hati, kaedah ini juga membolehkan pihak kaunseling mengumpul data perasaan jemaah.

“Kaedah ini sama seperti borang maklum balas tetapi dalam versi yang lebih menarik. Daripada maklum balas inilah yang akan membantu Tabung Haji dari masa ke semasa untuk menilai apa yang berada dalam hati jemaah,” katanya.

Mohd Najib berkata, masalah paling berat setakat seminggu ini ialah masalah kesihatan kerana terdapat jemaah yang sihat di Malaysia tetapi sakit di sini menyebabkan mereka kecewa serta bimbang tidak dapat melakukan ibadat dengan terbaik.

Sementara itu, menurutnya, pihak kaunseling TH juga turut memberi perhatian kepada kaedah kaunseling secara bersemuka terutama kepada jemaah yang tidak dapat menerima perubahan mendadak contohnya apabila berada di Tanah Suci, mereka keletihan yang teruk.

“Mereka rasa keletihan yang amat sangat, rasa tidak berdaya dan wujud perasaan seolah-oleh menyusahkan orang lain. Individu seperti ini mereka tidak akan rasa melainkan kita jumpa bercerita dan daripada penceritaan itu kita buat refleksi sehingga ada perubahan,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!