15 ditahan kes masak mi segera di stesen minyak

Tangkap layar laporan Sinar Harian berhubung tidak sekumpulan individu yang dikatakan memasak di sebuah stesen minyak di Genting Highlands. Gambar kecil: Yahaya
Tangkap layar laporan Sinar Harian berhubung tidak sekumpulan individu yang dikatakan memasak di sebuah stesen minyak di Genting Highlands. Gambar kecil: Yahaya
A
A
A

KUANTAN - Polis menahan 15 individu berkaitan kes tular yang dipercayai melakukan aktiviti memasak mi segera di sebuah stesen minyak di Genting Highlands, baru-baru ini.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, penahanan itu membabitkan 10 lelaki dan lima wanita selepas mereka hadir ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong, pada Sabtu.

Menurutnya, kesemua mereka berusia antara 23 hingga 28 tahun telah dibebaskan dengan jaminan polis selepas keterangan mereka diambil.

"Polis masih dalam proses merakam percakapan saksi ketika kejadian.

"Ini bagi melengkapkan siasatan sebelum kertas siasatan dirujuk ke Timbalan Pendakwa Raya (TPR) untuk arahan selanjutnya," katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Beliau berkata, setakat ini keterangan empat saksi sudah diambil bagi membantu siasatan kes.

Pada 13 Mei lalu Sinar Harian melaporkan penularan satu klip video di laman sosial memaparkan sekumpulan individu 'berkelah' dan memasak di sebuah stesen minyak dipercayai di Genting Highlands, Pahang mengundang kecaman netizen kerana bimbang tindakan itu akan membahayakan keselamatan.

Video berdurasi satu minit dua saat yang tular menunjukkan beberapa individu sedang melepak sambil memasak mi segera dengan menggunakan dapur gas mudah alih.

Artikel Berkaitan:

Turut kelihatan dalam video berkenaan sebuah kereta peronda memasuki stesen minyak tersebut, namun kumpulan terbabit tidak menghiraukan kehadiran pihak polis dan menyambung aktiviti yang dilakukan.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintenden Zaiham Mohd Kahar berkata, laporan dibuat seorang wanita berusia 47 tahun yang juga petugas di stesen minyak terbabit.

Kes disiasat mengikut Seksyen 268 Kanun Keseksaan iaitu menyebabkan kegusaran am kepada orang awam.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!