[VIDEO] Empat mengaku salah masak di stesen minyak, didenda RM500 seorang

A
A
A

BENTONG - "Tak tahu ke bahaya masak di stesen minyak kemudian muat naik di media sosial pula," soal Majistret Nadratun Naiem Zainan di Mahkamah Bentong di sini pada Selasa.

Beliau berkata sedemikian terhadap seorang peniaga kedai makan iaitu Fadhli Zil Ikram Sazalin Isran, 24; Nurfatin Irdina Shahrulnizam (pegawai khidmat pelanggan), 24; Nur Anis Salleh (pembantu pergigian), 24 dan Nur Azira Azman (ejen hartanah), 23, selepas masing-masing mengaku bersalah atas pertuduhan memasak menggunakan dapur gas di dalam kawasan stesen minyak di Genting Highlands pada 12 Mei lalu.

Video itu tular di media sosial baru-baru ini dan mendapat kecaman netizen yang berang dengan tindakan mereka yang memasak di kawasan berisiko seperti stesen minyak.

Keempat-empat tertuduh ketika tiba di Mahkamah Bentong pada Selasa.
Keempat-empat tertuduh ketika tiba di Mahkamah Bentong pada Selasa.

Nadratun turut mempersoalkan bagaimana timbulnya idea memasak di kawasan terbabit.

Nurfatin memberitahu perbuatan itu dilakukan secara rawak dan memberikan alasan lapar selain mereka kesemua mengakui kesilapan yang dilakukan.

Fadhli juga mengakui mereka merancang untuk memasak di tempat lain tapi sudah penuh dan mendakwa kawasan memasak ketika itu jauh dari nozel minyak.

Kesemua tertuduh mengaku bersalah dan didenda RM500 seorang selepas mengaku bersalah di Mahkamah Bentong pada Selasa atas pertuduhan memasak menggunakan dapur gas di kawasan stesen minyak dekat Genting Highlands pada 12 Mei lalu.
Kesemua tertuduh mengaku bersalah dan didenda RM500 seorang selepas mengaku bersalah di Mahkamah Bentong pada Selasa atas pertuduhan memasak menggunakan dapur gas di kawasan stesen minyak dekat Genting Highlands pada 12 Mei lalu.

Mengikut kertas pertuduhan, pada 12 Mei lalu kira-kira jam 1.30 pagi di stesen minyak Petron Taman Cendawan dekat Genting Highlands, di sini, dalam mencapai niat bersama telah bertindak memasak menggunakan dapur gas di dalam kawasan stesen minyak terbabit yang merupakan perubahan gopoh hingga membahayakan keselamatan diri orang lain.

Artikel Berkaitan:

Kesemua tertuduh disabitkan di bawah Seksyen 336 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum tiga bulan atau denda hingga RM500 atau kedua-duanya.

Ketika proses rayuan, kesemua tertuduh memohon denda yang rendah dan masing-masing memberikan alasan masih menanggung kedua ibu bapa, adik beradik serta mengakui kesalahan kali pertama yang dilakukan mereka.

Tertuduh yang hadir berpakaian serba hitam dan memakai pelitup muka selepas mengaku bersalah di Mahkamah Bentong pada Selasa.
Tertuduh yang hadir berpakaian serba hitam dan memakai pelitup muka selepas mengaku bersalah di Mahkamah Bentong pada Selasa.

Pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Zamharir Muhammad Zuhid meminta hukuman setimpal diberikan kepada kesemua tertuduh sebagai pengajaran kepada tertuduh dan orang ramai.

"Ini kerana kejadian berkenaan telah menarik perhatian awam dan menimbulkan persepsi dan kontroversi negatif kepada masyarakat," katanya lagi.

Nadratun kemudiannya menjatuhkan hukuman denda RM500 seorang dan tiga hari penjara jika denda gagal dijelaskan.

Kesemua tertuduh menjelaskan denda masing-masing.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!