Serang balai polis: Penduduk terkejut, bimbang

Laluan masuk ke rumah suspek yang agak jauh dan terpencil dari kediaman penduduk lain di Kampung Sungai Tiram, Ulu Tiram, Johor Bahru
Laluan masuk ke rumah suspek yang agak jauh dan terpencil dari kediaman penduduk lain di Kampung Sungai Tiram, Ulu Tiram, Johor Bahru
A
A
A

JOHOR BAHRU - Penduduk Kampung Sungai Tiram dekat sini terkejut dengan kejadian serangan di Balai Polis Ulu Tiram pada Jumaat yang mengorbankan dua anggota polis mati ditembak.

Penduduk kampung itu, Afiq Ibrahim, 19, bimbang dengan kejadian terbabit yang pertama kali berlaku dan mahu kawalan keselamatan dipertingkatkan.

Dia yang berniaga minuman air balang di kampung terbabit mengenali kedua-dua anggota polis yang maut itu dan sering bermain futsal bersama di pekan Tiram.

"Kedua-dua anggota polis tersebut pendiam, saya terkejut dengan kejadian yang menimpa mereka pagi ini," katanya ketika ditemui pemberita.

Dalam kejadian pada jam 2.30 pagi itu, dua anggota di Balai Polis Ulu Tiram maut manakala seorang lagi parah selepas ditetak dan tembak suspek disyaki anggota Jemaah Islamiah (JI).

Suspek yang tinggal di Kampung Sungai Tiram berusia 21 tahun itu datang ke balai berkenaan dengan motosikal dan membawa parang serta berada di belakang balai berkenaan yang gelap.

Afiq (kanan) terkejut dengan insiden yang berlaku dan mahu kawalan keselamatan dipertingkatkan selepas Balai Polis Ulu Tiram di Johor Bahru diserang pada pagi Jumaat
Afiq (kanan) terkejut dengan insiden yang berlaku dan mahu kawalan keselamatan dipertingkatkan selepas Balai Polis Ulu Tiram di Johor Bahru diserang pada pagi Jumaat

Lelaki itu kemudian menetak anggota polis yang datang ke belakang balai sebelum mengambil pistol polis terbabit dan menembak seorang lagi anggota polis.

Artikel Berkaitan:

Kedua-dua anggota polis berkenaan maut di tempat kejadian dan suspek kemudian menembak seorang lagi anggota polis di bahu kiri dan pinggul sebelum suspek ditembak mati di tempat kejadian.

Sementara itu, seorang lagi penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Pak Ali mendakwa, keluarga suspek tidak bercampur dengan penduduk di kampung tersebut.

"Kami kurang kenal dengan keluarga dia (suspek)... tidak bercampur (tidak bergaul dengan penduduk) dan buat hal sendiri," ujarnya.

Sementara itu, tinjauan Sinar Harian di kawasan rumah suspek mendapati kawasan terbabit merupakan tanah persendirian dan dikawal rapi pihak polis.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!