Balai Polis diserang: Pas gesa lakukan siasatan menyeluruh

Ahmad Fadhli.
Ahmad Fadhli.
A
A
A

SHAH ALAM - Pas menggesa agar siasatan menyeluruh dilakukan terhadap punca yang mendorong penyerang bertindak membuat serangan ke atas Balai Polis Ulu Tiram, Johor Bahru sehingga mengorbankan dua anggota polis awal pagi Jumaat.

Ketua Penerangannya, Ahmad Fadhli Shaari berkata, kawalan dan kaedah berurusan di balai polis yang merupakan lokasi kritikal juga perlu dinilai semula agar menepati ciri-ciri keselamatan terutama pada waktu tengah malam berikutan bilangan anggota bertugas terhad.

“Serangan ini merupakan satu detik hitam dalam sejarah perkhidmatan Polis Diraja Malaysia (PDRM). Ia hampir mengulangi sejarah serangan ke atas Balai Polis Batu Pahat pada 1980 oleh sekumpulan pengikut ajaran sesat.

“Bezanya kali ini, dua anggota polis meninggal dunia berbanding di Batu Pahat yang mengakibatkan kecederaan beberapa orang.

“Pas meminta rakyat bertenang serta memberikan ruang selesa kepada pihak polis dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bertindak dan melakukan siasatan menyeluruh,” katanya dalam satu kenyataan.

Sebelum ini, dilaporkan dua anggota polis terbunuh, manakala seorang lagi cedera dalam serangan dilakukan seorang lelaki yang menceroboh masuk ke Balai Polis Ulu Tiram dalam kejadian 4.41 pagi tadi.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, suspek yang ditembak mati di lokasi itu dipercayai ahli Jemaah Islamiyah dan polis telah melakukan serbuan di rumahnya di Ulu Tiram dengan menahan lima ahli keluarga lelaki terbabit, berusia 19 hingga 62 tahun.

Dalam pada itu, Pas merakamkan ucapan takziah kepada keluarga dua anggota polis yang meninggal dunia dalam insiden serangan tersebut.

Artikel Berkaitan:

“Semoga kedua-dua pahlawan negara ini dirahmati ALLAH SWT dan dimasukkan dalam golongan orang-orang yang beriman,” ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!