Peluang banduan belajar al-Quran lebih tinggi

Nordin (kanan) mengiringi Tengku Muhammad Fakhry Petra yang berkenan merasmikan Majlis Perasmian Sekolah Tahfiz Al-Quran Al-Furqan Pusat Pemulihan Akhlak Machang pada Khamis.
Nordin (kanan) mengiringi Tengku Muhammad Fakhry Petra yang berkenan merasmikan Majlis Perasmian Sekolah Tahfiz Al-Quran Al-Furqan Pusat Pemulihan Akhlak Machang pada Khamis.
A
A
A

MACHANG - Penubuhan Kelas Tahfiz Al-Quran di Pusat Pemulihan Akhlak Machang memberi peluang kepada pelajarnya berdikari dengan memiliki sijil diiktiraf oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK).

Ketua Pengarah Penjara Malaysia Komisioner Jeneral Penjara Malaysia, Datuk Nordin Muhamad berkata, sekolah tahfiz dalam penjara itu merupakan yang ketiga di negara ini selepas Sekolah Agama Tarbiyyah Husnul Khatimah (SATHK) di Penjara Kluang Johor dan Kelas Tahfiz Khairul Ummah di Penjara Kajang.

Menurut beliau, penubuhan itu merupakan inisiatif berterusan Jabatan Penjara Malaysia ke arah pembinaan modal insan yang berteraskan al-Quran dan Pendidikan Islam.

"Saya difahamkan MAIK telah meluluskan sejumlah peruntukan bernilai RM122,234 bagi menubuhkan sebuah sekolah tahfiz dengan fasiliti yang lengkap dan melantik guru tahfiz.

"Jabatan Penjara Malaysia juga berhasrat mengembangkan kelas atau sekolah tahfiz di institusi penjara seluruh negara dengan kerjasama jabatan dan agensi agama Islam negeri," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Sekolah Tahfiz Al-Quran Al-Furqan Pusat Pemulihan Akhlak Machang pada Khamis.

Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra berkenan merasmikan majlis berkenaan.

Nordin memberitahu, penglibatan pihak berkuasa agama dan negeri sangat signifikan bagi membantu graduan tahfiz mendapat pengiktirafan seperti sijil dan diploma atau yang setaraf untuk mendapatkan pekerjaan seperti imam masjid, bilal dan guru tahfiz.

Artikel Berkaitan:

"Kita jangan memandang rendah kepada banduan, mungkin kelalaian menyebabkan tersalah pilih jalan namun mereka boleh berubah dengan sokongan dan semangat daripada masyarakat," katanya.

Bagi memastikan kejayaan yang lebih baik dalam kalangan banduan, pihaknya menjalin kerjasama dengan universiti untuk memiliki diploma atau ijazah selepas mereka keluar dari penjara.

Seramai 30 orang penghuni dari Pusat Pemulihan Akhlak Machang terpilih menyertai kelas berkenaan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!