Lantikan semula Azam Baki: PM ada beberapa pertimbangan, kata Fahmi

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil bercakap kepada pemberita semasa sidang media Kerajaan Perpaduan di Kementerian Komunikasi pada Rabu. Foto Bernama
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil bercakap kepada pemberita semasa sidang media Kerajaan Perpaduan di Kementerian Komunikasi pada Rabu. Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah membuat beberapa pertimbangan sebelum memutuskan mengenai pelantikan semula Tan Sri Azam Baki sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Mengulas dakwaan Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4 Center) bahawa pelantikan Azam tidak selari dengan janji reformasi institusi, Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan, bagaimanapun tidak memperincikan aspek pertimbangan terbabit dengan menyatakan badan bukan kerajaan itu berhak menyuarakan pendapat mereka.

"C4 berhak nyatakan pandangan itu, tapi pada masa yang sama ada beberapa pertimbangan yang telah diberikan oleh Perdana Menteri Anwar dalam membuat keputusan ini,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Kabinet di sini pada Rabu.

C4 Center dalam kenyataan semalam menyatakan pelantikan semula Azam dikhuatiri akan menjejaskan keupayaan SPRM untuk memerangi rasuah dan menegakkan tadbir urus yang baik di Malaysia.

Pada 10 Mei lepas, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali dilapor berkata, Azam dilantik semula sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM bagi tempoh setahun berkuat kuasa 12 Mei 2024 dengan pelantikan itu diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.

Mohd Zuki berkata, pelantikan itu dibuat selaras subseksyen 5(1) dan (2) Akta SPRM 2009 (Akta 694).

Mengenai dakwaan wujud kartel melibatkan pimpinan tinggi perkhidmatan awam yang dikatakan meminta komisen bagi projek-projek tertentu, Fahmi meminta mana-mana pihak yang mempunyai maklumat mengenai perkara itu untuk melaporkan segera kepada pihak berkuasa.

"Perkara ini tidak dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini, lazimnya sesiapa ada aduan, maklumat boleh buat laporan kepada badan penguatkuasaan untuk tindakan berlandaskan lunas undang-undang,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, tular beberapa hantaran pengguna platform X @zeyhnnnn yang mendakwa kewujudan kartel perkhidmatan awam itu melibatkan pimpinan tertinggi. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!