Sengaja dedah dosa zina, seolah-olah pandang rendah perkara yang dikeji ALLAH

JANGAN dedahkan dosa zina yang dilakukan di depan khalayak. -Gambar hiasan/ Foto: Canva
JANGAN dedahkan dosa zina yang dilakukan di depan khalayak. -Gambar hiasan/ Foto: Canva
A
A
A

JIKA aib diri dilarang untuk dibuka, inikan pula perbuatan dosa zina. Tidak perlulah ia dijaja dan didedahkan secara terbuka sehinggakan satu dunia boleh tahu.

Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi, Fakulti Pengajian Quran Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia, Prof Madya Dr Ahmad Sanusi Azmi mengingatkan, Rasulullah SAW mendidik Muslim agar tidak mendedahkan dosanya sendiri dan diperintahkan segera bertaubat kepada ALLAH SWT.

“Bahkan, dalam perihal zina, Nabi Muhammad SAW menasihatkan Muslim agar menyembunyikan dosa tersebut,” katanya sebagaimana dipetik menerusi hantaran di laman sosial Facebook miliknya pada Rabu.

Ia sebagaimana sabda Baginda SAW: “(Wahai manusia) jauhilah dari kotoran (zina) ini yang telah ditegah oleh ALLAH. Barang siapa yang menderita (terjebak) dengannya, maka hendaklah dia menyembunyikannya.” (Hadis Riwayat Al-Hakim)

Berdasarkan hadis itu, ahli akademik tersebut kemudian memetik pandangan Al-Imam Ibnu Abd Al-Barr.

DR AHMAD SANUSI
DR AHMAD SANUSI

“Beliau menyatakan dalam kitab al-Istizkar, mendiamkan diri diripada mendedahkan dosa zina dengan bertaubat dan menyesal atas perbuatan berkenaan adalah lebih baik daripada membongkarkan kepada pihak berkuasa yang boleh menyebabkan dirinya dihukum dengan hukuman hudud.

Artikel Berkaitan:

“Begitulah yang pernah dilakukan oleh Rasulullah SAW saat Ma’iz bin Malik Al-Aslami datang dengan pengakuan terhadap dosa tersebut.

“Baginda SAW kemudian memintanya pulang atau menarik pengakuannya, takut-takut kalau dia tersalah dalam perkara itu. Tindakan sama juga berlaku ke atas wanita al-Ghamidiyyah,” terangnya panjang lebar.

Sesungguhnya, setiap yang ditegah itu sudah pasti ada sebab musababnya.

Ahmad Sanusi mengingatkan, mereka yang sengaja mendedahkan dosa zinanya kepada khalayak sebenarnya seolah-olah memandang rendah terhadap perkara yang dilarang dan dikeji oleh ALLAH SWT.

Demikianlah pandangan Al-Imam Ibnu Battal yang menyatakan: “Dan dengan mendedahkan maksiat yang dilakukan, dia akan seakan-akan memandang ringan hak ALLAH (undang-undang yang telah ditetapkan oleh-NYA) dan hak Rasul-NYA.”

“Anehnya hari ini, manusia tidak berasa segan dengan dosa zina mereka. Malah, dibincangkan pula secara terbuka dan menjadi tatapan umum dalam media sosial.

“Sedangkan ALLAH membenci dosa besar ini dan menyifatkannya sebagai sesuatu yang keji, jijik dan kotor,” ungkapnya.

RASULULLAH SAW mendidik Muslim agar tidak mendedahkan dosanya sendiri dan diperintahkan segera bertaubat kepada ALLAH SWT. -Gambar hiasan/ Foto: Canva
RASULULLAH SAW mendidik Muslim agar tidak mendedahkan dosanya sendiri dan diperintahkan segera bertaubat kepada ALLAH SWT. -Gambar hiasan/ Foto: Canva

Lebih menyedihkan lagi apabila terdapat pula segelintir masyarakat yang gemarkan cerita kotor dan jijik sebegini, ujarnya.

“Mereka yang sudah terbiasa dengan menjamah berita sampah yang kotor akan merasakan ia sesuatu yang biasa sedangkan, kaum muslimin itu membenci perkara dosa,” tegasnya.

Seperkara lagi, Ahmad Sanusi mengingatkan, Rasulullah SAW turut mencela mereka yang suka mendedahkan dosa sendiri, padahal ALLAH SWT sudah menyembunyikan keaiban maksiat dilakukan.

Baginda SAW bersabda: “Setiap umatku akan diampunkan dosa mereka melainkan golongan mujahirin (iaitu mereka yang mendedahkan dosa mereka sendiri). Yang dimaksudkan dengan ‘mujaharah’ itu ialah seorang lelaki yang melakukan satu perbuatan (maksiat) pada waktu malam, sedangkan di waktu pagi ALLAH telah menutup apa yang dilakukannya pada malam tersebut. Lalu dia berkata: Wahai fulan, semalam aku telah melakukan perbuatan (dosa) ini dan perbuatan (dosa) itu. Sesungguhnya dia tidur dalam keadaan ALLAH menutup aib yang telah dia lakukan, namun dia bangun pada waktu pagi, lalu mendedahkan sendiri apa yang ALLAH telah sembunyikan aibnya.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari)

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!