Jaga aib umpama menjaga maruah

Terdapat sebahagian pelayar sendiri tanpa segan silu menguar-uarkan aib sendiri untuk tatapan ramai. Gambar hiasan 123rf
Terdapat sebahagian pelayar sendiri tanpa segan silu menguar-uarkan aib sendiri untuk tatapan ramai. Gambar hiasan 123rf
A
A
A

ISLAM melarang untuk menyebarkan keaiban sendiri apatah lagi aib orang lain.

Bagaimanapun melihat di sudut media sosial, terdapat sebahagian pelayar sendiri tanpa segan silu menguar-uarkan aib sendiri untuk tatapan ramai.

Lebih parah apabila lebih banyak pihak menjadikannya sebagai ikutan sebelum memuat naik video seumpamanya di pelbagai aplikasi media sosial.

Lihat sahaja komen-komen apabila membabitkan kes seorang bapa kepada tiga anak, yang tular di media sosial sebagai ‘Hot Daddy’ bersama dua rakan wanitanya berhubung suatu video lucah.

Ada yang bergurau dengan menyatakan rela untuk menjadi teman kepada lelaki itu sekiranya diperlukan.

Sedangkan ia menjadi bahan umpatan kerana sanggup meletakkan maruah di tahap yang tidak wajar dibanggakan.

Ini mengundang nasihat daripada Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Othman supaya mereka memohon ampun dan bertaubat kerana mendedahkan perbuatan yang tidak baik seperti zina.

Bagaimanapun, sekiranya berlaku curang, jangan pula kita sebarkan aib orang lain di khalayak ramai.

Artikel Berkaitan:

Individu yang didapati melakukan kesalahan itu berdepan dengan pelbagai peruntukan undang-undang antaranya Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 509 Kanun Keseksaan.

Bagi Seksyen 509, tertuduh berdepan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Contoh menarik bagi kesalahan itu ialah membabitkan seorang pegawai polis wanita yang lebih dikenali sebagai ‘Inspektor Sheila’.

Dia didakwa di Mahkamah Majistret Selayang pada 26 Jun tahun lalu, atas pertuduhan mengaibkan seorang anggota polis berpangkat lans koperal di sebuah kedai makan malah kes berkenaan masih lagi di peringkat sebutan dan pengurusan kes.

Mengambil sudut kes-kes lain di mahkamah, wartawan turut terikat untuk menjaga aib biarpun kepada tertuduh.

Melihat disudut komen, ramai yang tidak berpuas hati dengan tindakan itu, namun hakikatnya niat untuk menjaga aib lebih kepada ahli keluarga terutama anak-anak tertuduh.

Mengambil contoh kes terbaharu, seorang ibu yang sebelum ini mengaku bersalah atas satu tuduhan menganiaya anak lelakinya berusia setahun empat bulan.

Dia didakwa memberi susu bercampur air mengandungi dadah berbahaya jenis methamphetamine namun bertindak menukar pengakuan kepada tidak bersalah semasa sebutan semula kes di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, 13 Mac lalu.

Sinar Harian tidak mendedahkan wajah wanita dan suaminya yang turut berdepan tuduhan sama, termasuk nama mereka, biarpun mengenakan cermin mata hitam dan pelitup muka.

Bayangkan perasaan anak-anak dan ahli keluarga sekiranya masyarakat mengetahui perkara itu, ia pasti memberi tekanan kepada mereka.

Disebabkan itulah Sinar Harian bukan sahaja tidak mendedahkan nama tertuduh malah tidak mengeluarkan gambar pasangan suami isteri itu di akhbar.

Itu belum dikira kesalahan untuk kes reman, jenayah seksual, rogol atau jenayah lain membabitkan ahli keluarga terdekat.

Setiap tertuduh juvana mahu pun tertuduh yang mempunyai pertalian darah dengan mangsa, wajar dilindungi.

Bukan untuk melindungi tertuduh, sebaliknya mangsa dan ahli keluarga mereka.

Hakikatnya semua pertuduhan di bawah akta kanak-kanak tidak boleh mendedahkan identiti mangsa mahupun tertuduh yang masih di bawah umur antaranya 13 hingga 17 tahun.

Ini termasuk kes-kes jenayah membabitkan pesalah muda berusia 18 hingga 21 tahun.

Justeru itu, tindakan pihak media tidak mendedahkan wajah tertuduh mahupun pesalah bukan mengikut kaum, gelaran atau pangkat seseorang.

Sebaliknya etika kewartawanan untuk menjaga aib merangkumi skop yang lebih meluas.

* Noor Azlida Alimin ialah wartawan Meja Jenayah/Mahkamah