Van Thailand jadi pilihan 'pekerja tomyam'

Perkhidmatan van Thailand menjadi pilihan utama pengangkutan dalam kalangan pekerja tomyam dari negara jiran untuk bergerak dari pintu masuk utama negara ke lokasi tempat mereka bekerja.
Perkhidmatan van Thailand menjadi pilihan utama pengangkutan dalam kalangan pekerja tomyam dari negara jiran untuk bergerak dari pintu masuk utama negara ke lokasi tempat mereka bekerja.
A
A
A

KOTA BHARU - Perkhidmatan van Thailand menjadi pilihan utama pengangkutan dalam kalangan 'pekerja tomyam' dari negara jiran untuk bergerak dari pintu masuk utama negara ke lokasi tempat mereka bekerja.

Walaupun larangan terhadap kenderaan tersebut memasuki Malaysia sudah lama dikuatkuasakan namun masih ada individu tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan dengan tujuan mengaut keuntungan berlipat kali ganda.

Sumber mendedahkan, ia menjadi pilihan disebabkan lebih selamat berbanding pengangkutan awam yang ada di negara ini.

"Pengangkutan awam biasanya banyak pemeriksaan dilakukan oleh pihak berkuasa. Jadi 'pekerja tomyam' yang tidak mempunyai kelengkapan cukup akan berdepan masalah.

"Biasanya mereka ('pekerja tomyam') menggunakan pas lawatan sementara," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Menurut sumber lagi, kebanyakan pemandu sudah mahir dengan selok-belok pemanduan di negara ini termasuklah laluan tikus.

Ujarnya, ini bagi mengelakkan van tersebut ditahan oleh pihak berkuasa terutama polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Sumber memberitahu, caj yang ditawarkan sekitar RM90 seorang dari Rantau Panjang ke Kuala Lumpur cukup berbaloi buat pekerja tomyam.

Artikel Berkaitan:

Katanya, RM50 hingga RM80 dikenakan untuk tambang sekitar Pahang, Terengganu, dan negeri lain.

"Hal ini kerana mereka tidak perlu mengeluarkan belanja lebih dan dijamin sampai terus ke lokasi yang ingin dituju.

"Kalau naik bas, mereka perlu membayar tambang teksi untuk sampai ke tempat kerja. Jadi itu memberi kerumitan buat mereka," katanya.

Ujar sumber, faktor bahasa turut menjadikan perkhidmatan van Thailand popular dalam kalangan 'pekerja tomyam'.

"Kebanyak mereka yang datang dari Pattani, Narathiwat tidak begitu fasih menggunakan Bahasa Melayu. Mereka hanya boleh bertutur menggunakan loghat yang agar sukar untuk difahami oleh penduduk di luar Kelantan," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!