Bekas pengurus besar PPK didakwa kemuka tuntutan palsu

Mohd Zairey (tengah) ketika dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen oleh pegawai pengiring SPRM pada Selasa.
Mohd Zairey (tengah) ketika dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen oleh pegawai pengiring SPRM pada Selasa.
A
A
A

MELAKA - Bekas pengurus besar di salah sebuah Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) di Johor dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa, atas dua tuduhan termasuk mengemukakan tuntutan mengandungi butir matan palsu mencecah RM64,550.

Tertuduh, Mohd Zairey Yahya, 42, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan itu dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh yang ketika itu merupakan pengurus besar di sebuah PPK di Johor didakwa telah menggunakan dokumen yang mengandungi butir matan palsu antara Januari dan Mac 2020.

Dia didakwa mengemukakan Sijil Perakuan Kesempurnaan bagi Projek Pembekalan dan Menghantar Alatan serta Input Pertanian Projek Lengkuas yang bernilai RM44,550 kepada Unit Kewangan Lembaga Pertubuhan Peladang Negeri Johor bagi tujuan tuntutan walhal kerja-kerja tersebut tidak dilaksanakan.

Bagi kesalahan itu, pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (Akta 694), yang mana tertuduh boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan boleh didenda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Mohd Zairey (tengah) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen pada Selasa.
Mohd Zairey (tengah) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen pada Selasa.

Pertuduhan kedua, tertuduh yang kini bertugas di Ibu Pejabat Lembaga Pertubuhan Peladang didakwa memperoleh untuk diri sendiri wang tunai bernilai RM20,000 daripada seorang kontraktor pembersihan sebagai balasan telah memperakukan kesempurnaan projek kerja-kerja Pembersihan, Penyediaan tapak serta Infra Ladang Bagi Projek Tanaman Lengkuas.

Kesalahan berkenaan didakwa dilakukan ketika tertuduh masih menjawat jawatan sebagai Pegawai Ehwal Ekonomi di Lembaga Pertubuhan Peladang Johor di parkir kereta medan selera pekan Selandar, Jasin pada 5 Mac 2021.

Artikel Berkaitan:

Dengan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 165 kanun keseksaan yang boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan

Tertuduh yang diwakili Peguam, Datuk Haniff Hassan memohon mahkamah membatalkan pertuduhan pertama kerana pertuduhan tersebut tidak dinyatakan secara spesifik dan mengelirukan, selain memaklumkan tertuduh yang ditahan secara drastik tidak mampu mengumpulkan wang jaminan banyak dalam masa singkat serta mencadangkan jaminan dikenakan antara RM10,000 hingga RM15,000.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mohammad Azriff Firdaus Mohamad Ali membantah pembatalan pertuduhan awal tersebut dengan alasan butiran adalah mencukupi sebagai notis kepada tertuduh serta pihak didakwa memahami dokumen dan pertuduhan ke atasnya.

Mahkamah kemudian membenarkan bantahan oleh pihak pendakwaan dan menetapkan jaminan RM20,000 bagi kedua-dua pertuduhan selain menetapkan 19 Jun depan tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!