Jenayah dalam talian babitkan kerugian lebih RM1.34 bilion

Nie Ching. Foto Bernama
Nie Ching. Foto Bernama
A
A
A

KULAI - Jumlah kerugian bagi kes jenayah dalam talian di negara ini dilaporkan melebihi RM1.34 bilion dari Januari sehingga 8 Disember tahun lalu.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, statistik yang direkodkan Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) itu menunjukkan peningkatan berbanding sepanjang 2022 yang merekodkan kerugian RM804 juta.

"Ini adalah peningkatan yang sangat besar. Pelaburan tidak wujud pada tahun lalu merekodkan 5,178 kes iaitu kerugian paling tinggi berjumlah RM437,325 diikuti e-dagang (11,173 kes dengan kerugian RM383,313).

"Ketiga melibatkan jenayah telekomunikasi (9,830 kes dengan kerugian RM334,456) sementara jenayah kewangan (2,041 kes dengan kerugian RM71,474).

"Love scam pula (900 kes dengan kerugian RM41,237) dan akhir sekali pinjaman tidak wujud (4,113 kes dengan RM39,131)," katanya.

Nie Ching (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada penerima sempena program CSR Environment Kasih dan Misi Sampul Merah di Taman Desa, Kulai pada Ahad
Nie Ching (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada penerima sempena program CSR Environment Kasih dan Misi Sampul Merah di Taman Desa, Kulai pada Ahad

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) SWM Environment Kasih dan Misi Sampul Merah sempena perayaan Tahun Baharu Cina di Taman Desa di sini pada Ahad.

Nie Ching berkata, pihaknya percaya jumlah kerugian adalah lebih tinggi daripada yang direkodkan pihak NSRC kerana mangsa melaporkan terus kepada pihak polis.

Artikel Berkaitan:

"Saya percaya pihak polis ada angka yang lebih komprehensif dan lengkap kerana ada mangsa yang tidak melaporkan kepada NSRC sebaliknya terus kepada polis," katanya.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati dan tidak mudah terpedaya dengan pelaburan yang menawarkan keuntungan tidak munasabah dalam masa singkat.

"Mereka perlu semak dahulu dengan pihak Securities Commission Malaysia (SC) sama ada pelaburan itu diletakkan bawah mereka. Kalau tak ada kemungkinan pelaburan itu adalah scam," ujar beliau.

Sementara itu, mengenai program tersebut, Nie Ching yang juga Ahli Parlimen Kulai berkata, seramai 50 keluarga B40 menerima sumbangan makanan daripada SWM serta wang tunai RM100 daripada pihaknya.

Beliau berharap, sumbangan sempena Tahun Baharu Cina itu akan dapat meringankan beban di samping menceriakan mereka.