Kuala Lumpur 2024 pentas jadi pemain elit

Jaharberdeen (barisan belakang, tujuh dari kiri) bersama barisan penaja dan sebahagian pemain yang menyahut cabaran Kejuaraan Badminton Tertutup Kuala Lumpur Jejak Juara 2024. Foto KLBA-Ahmad Luqman Ismail
Jaharberdeen (barisan belakang, tujuh dari kiri) bersama barisan penaja dan sebahagian pemain yang menyahut cabaran Kejuaraan Badminton Tertutup Kuala Lumpur Jejak Juara 2024. Foto KLBA-Ahmad Luqman Ismail
A
A
A

KUALA Lumpur tekad menjadi peneraju utama pusat pembentukan pelapis badminton tanah air menerusi inisiatif Program Jejak Juara yang dilancarkan sejak 2022.

Itu ikrar Presiden Persatuan Badminton Kuala Lumpur (KLBA), Datuk Seri Dr Jaharberdeen Mohamed Yunos selepas pelancaran Kejuaraan Badminton Tertutup Kuala Lumpur Jejak Juara 2024 di Akademi Badminton Malaysia (ABM) pada Khamis.

Menurutnya, edisi 2024 merupakan kesinambungan penganjuran daripada kejayaan saingan musim 2023 sebelum ini.

“Kejuaraan tahun 2023 telah diiktiraf Malaysia Book of Records kerana telah memecah rekod penyertaan paling ramai di Malaysia, iaitu lebih daripada 3,500 dari seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

“Dari kejuaraan 2023, kita telah mengenal pasti lebih daripada 100 peserta yang berpotensi dan layak untuk menyertai latihan yang disediakan dalam Program Jejak Juara,” katanya pada Khamis.

Sebagai rekod, edisi 2024 merupakan edisi kedua dijadualkan berlangsung di Arena Badminton Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Cheras, dari 10 hingga 15 Jun depan.

Edisi 2024 melibatkan persaingan bagi perseorangan lelaki dan perempuan kategori Bawah 8 tahun, 10 tahun, 12 tahun 14 tahun, 16 tahun dan 18 tahun.

Malah jelas Jaharberdeen, penganjur masih mengekalkan objektif memilih pemain-pemain terbaik bagi diserapkan ke dalam Pusat Latihan Daerah (PLD) setelah mendapat kelulusan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPWKL).

Artikel Berkaitan:

Katanya, kejuaraan akan diadakan setiap tahun yang menyaksikan peserta berada dalam PLD berpeluang menjalani sesi pemilihan sebagai pemain Kuala Lumpur.

“Pemain-pemain yang mara suku akhir kejuaraan ini akan dijemput menjalani latihan di bawah PLD KLBA di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kepong Baru, SMK Sri Pantai, SMK Seri Bintang Selatan dan SMK Wangsa Melawati.

“Mereka kemudian akan dijemput menghadiri sesi pemilihan yang dijalankan pada penghujung tahun 2024 bagi diserap sebagai pemain Kuala Lumpur,” katanya.

Program Jejak Juara inisiatif KLBA turut mendapat kerjasama Kementerian Pendidikan, Majlis Sukan Sekolah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (MSSWPKL) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam memastikan kejuaraan berlangsung dalam keadaan kondusif.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!