Naik taraf CIQ BSI, KSAB masih banyak kekurangan

Tunku Mahkota Ismail bertitah ketika merasmikan Pembukaan Sidang DUN Johor ke-15 di Bangunan Sultan Ismail pada Khamis.
Tunku Mahkota Ismail bertitah ketika merasmikan Pembukaan Sidang DUN Johor ke-15 di Bangunan Sultan Ismail pada Khamis.
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Inisiatif menaik taraf Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) masih banyak kekurangan.

Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail bertitah, perkara itu memerlukan perhatian serius dan perlu diselesaikan tanpa kompromi kerana laluan Tambak Johor dan Linkedua merupakan aset penting untuk pembangunan ekonomi negeri.

"Terdapat inisiatif penaiktarafan yang dibuat di CIQ BSI dan KSAB, namun masih terdapat banyak kekurangan yang memerlukan perhatian serius. Saya ingin melihat isu-isu ini diselesaikan tanpa kompromi," titah baginda.

Baginda bertitah ketika merasmikan Pembukaan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ke-15 di Bangunan Sultan Ismail di sini pada Khamis.

Dalam pada itu, baginda turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ekoran pelaksanaan projek ekonomi berimpak tinggi iaitu Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dan Zon Kewangan Khas (SFZ) di negeri ini.

Tunku Mahkota Ismail bertitah, pelaksanaan kedua-dua inisiatif itu akan meningkatkan lagi potensi perkembangan ekonomi negeri ini dalam usaha menjadi negeri maju menjelang tahun 2030.

"Pelaksanaan JS-SEZ dan SFZ ini juga akan mengukuhkan lagi hubungan Johor dan Singapura pada masa depan sekali gus meningkatkan ekonomi negeri dan kesejahteraan penduduknya.

"Sehubungan itu, penjawat awam di negeri ini diminta untuk meningkatkan produktiviti mereka dalam memastikan semua projek yang dirancang berjalan lancar dan mengikut jadual ditetapkan," titah baginda.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!