Kerajaan tidak boleh bergantung kepada realisasi subsidi - Pakar ekonomi

Wacana Sinar edisi 439 bertajuk 'Gaji Naik, Produktiviti Macam Mana?' dihoskan oleh Ismail Adnan (kiri) menampilkan ahli panel Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh (dua dari kiri); Pakar ekonomi, Dr Baayah Baba dan Setiausaha Agung CUEPACS, Abdul Rahman Mohd Nordin (kanan) yang berlangsung di Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Selasa. Foto SINAR HARIAN / MOHD HALIM ABDUL WAHID
Wacana Sinar edisi 439 bertajuk 'Gaji Naik, Produktiviti Macam Mana?' dihoskan oleh Ismail Adnan (kiri) menampilkan ahli panel Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh (dua dari kiri); Pakar ekonomi, Dr Baayah Baba dan Setiausaha Agung CUEPACS, Abdul Rahman Mohd Nordin (kanan) yang berlangsung di Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Selasa. Foto SINAR HARIAN / MOHD HALIM ABDUL WAHID
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada realisasi subsidi sebagai sumber kewangan untuk memberi gaji tambahan kepada penjawat awam.

Pakar ekonomi, Dr Baayah Baba berkata, sebaliknya kerajaan perlu mencari dana lain sebagai tambahan ekonomi.

Katanya, ini kerana realisasi subsidi akan mengikut kerajaan semasa dan mungkin kepimpinan akan datang tidak melihatnya sebagai keperluan.

"Jadi kerajaan hari ini sepatutnya mencari punca lain bagi menambah dari segi kewangan. Mungkin boleh dapatkan melalui pelaburan syarikat multinasional atau cukai perniagaan bagi menampung kenaikan gaji penjawat awam.

"Setiap kenaikan gaji akan memberi implikasi kepada kewangan kerajaan dan saya yakin mereka ada cara untuk mendapatkan dana," katanya pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panelis pada Wacana Sinar edisi 439 bertajuk 'Gaji naik, produktiviti macam mana?'.

Program tersebut diadakan di Studio F Karangkraf, Shah Alam dan disiarkan di semua platform digital Sinar Harian pada jam 8.30 malam, Selasa.

Turut menjadi panel ialah Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Abdul Rahman Mohd Nordin dan Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun Baayah berpandangan, kenaikan gaji yang kerajaan berikan kepada penjawat awam dilihat sebagai satu suntikan positif kepada ekonomi negara.

"Orang kalau ada duit lebih, dia akan belanja maka daripada rentetan itu peniaga akan menerima hasil lebih baik mungkin boleh tambah jumlah pekerja.

"Sebab tiada orang kalau dapat gaji lebih, kenaikan 15 peratus dan 15 peratus juga dia simpan, tidak mungkin. Mesti belanja 14 peratus selebihnya simpan iaitu hanya satu peratus, jadi ia sangat baik untuk ekonomi negara," jelasnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!