Rompak kapal tangki, 10 lanun Indonesia dipenjara 16 tahun

Gambar hiasan. - Foto 123RF
Gambar hiasan. - Foto 123RF
A
A
A

PUTRAJAYA - Mahkamah Rayuan di sini hari ini mengekalkan hukuman penjara 16 tahun dan lima sebatan rotan ke atas 10 lelaki warga Indonesia selepas mereka mengaku bersalah melakukan rompakan berkumpulan ke atas sebuah kapal tangki minyak di perairan Terengganu tiga tahun lepas.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Dr Hamid Sultan Abu Backer dalam keputusan sebulat suara menolak rayuan yang dikemukakan sembilan lelaki berkenaan untuk mengurangkan hukuman penjara.

Beliau berkata, rayuan yang difailkan sembilan lelaki itu tidak mempunyai merit.

Sembilan lelaki itu ialah Anne Raja, Arsito Mohd Hardi, Kreston Muhaling, La Abu, Bram Ali, Lurther Marnis Zachawerus, Badiun, Meidy Hermanus Wajongkare dan Rollan Kapahese.

Seorang lagi lelaki, Oktemi Supri, mahkamah membenarkan rayuan pendakwaan untuk mengembalikan semula keputusan Mahkamah Sesyen Terengganu yang memerintahkan lelaki itu dijatuhi hukuman penjara 16 tahun dan lima sebatan rotan.

Pihak pendakwaan mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang mengurangkan tempoh hukuman penjara Oktemi kepada 12 tahun dan sebatan lima rotan.

Dua lagi hakim yang menganggotai panel itu Datuk Hadhariah Syed Ismail dan Datuk Abu Bakar Jais.

Sepuluh lelaki berusia 34 hingga 62 tahun itu didakwa bersama tiga lagi tertuduh yang masih bebas.

Artikel Berkaitan:

Mereka mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen melakukan rompakan berkumpulan terhadap kapal MT MGT-1 milik syarikat Marine Global Transport berpangkalan di Thailand sehingga mendatangkan kerugian dan ketakutan terhadap 14 kru kapal tersebut dengan menggunakan senjata pisau dan parang panjang.

Kesalahan itu dilakukan di perairan Terengganu pada jam 8.30 malam, 6 September 2017.

Bagi hukuman sebat, hanya Arsito mendapat pengecualian.

Pada 2018, Mahkamah Tinggi Terengganu mengekalkan hukuman penjara sembilan lelaki berkenaan tetapi mengurangkan tempoh hukuman penjara Oktemi. Bagaimanapun mahkamah mengekalkan bilangan sebatan.

Timbalan Pendakwa Raya, Allan Suman Pillai dan Ku Hayati Ku Haron mewakili pihak pendakwaan manakala peguam Mohd Shahir Mat Jusoh mewakili Anne dan Arsito.

Peguam Horley Issacs mewakili tujuh lelaki lain manakala Oktemi diwakili peguam Yasin Aminuddin Anwar.

Terdahulu, Issacs memaklumkan kepada mahkamah perayu telah diperdaya untuk membuat pengakuan bersalah itu dengan dijanjikan mereka akan dihantar pulang ke Indonesia selepas dua atau tiga minggu.

Beliau berkata, mereka juga tidak memahami sifat dan akibat kesalahan itu kerana mereka tidak disediakan penterjemah bahasa Indonesia.

Bagaimanapun, Hakim Hamid Sultan memberitahu peguam, warga Indonesia itu boleh mengemukakan permohonan semakan semula bahawa ketika pengakuan mereka diambil telah berlaku pelanggaran prosedur. - Bernama