Jenayah siber, dadah perlu perhatian serius - PDRM

Ramli
Ramli
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seminar Jenayah Siber dan Penyalahgunaan Dadah menjadi platform terbaik pertukaran maklumat kepada peserta mengenai cabaran baru dalam bidang keselamatan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, beliau turut berkongsi statistik kes jenayah siber yang menunjukkan peningkatan setiap tahun.

"Kedua-dua isu berkaitan jenayah siber dan penyalahgunaan dadah perlu diberi perhatian serius.

"Seminar yang disiarkan secara langsung di aplikasi Facebook Polis Diraja Malaysia (PDRM) boleh menjadi perhatian serta rujukan masyarakat," katanya kepada Sinar Harian, pada Selasa.

Seminar itu berlangsung dalam Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2024.

Acara dwitahunan itu yang memasuki edisi ke-18 dengan tema 'Building Resilient Nations For The Next Generation' menerima penyertaan 1,324 syarikat dari 60 negara manakala 34 negara mempunyai Pavilion mereka sendiri termasuk Turkiye, China, Emiriah Arab Bersatu, Itali dan Amerika Syarikat.

Ramli berkata, melalui seminar seperti itu, pihaknya berharap dapat meningkatkan kesedaran orang ramai berkaitan kedudukan jenayah komersial yang dipacu oleh teknologi moden.

"Masyarakat sepatutnya lebih cakna agar tidak menjadi mangsa penipuan dalam talian," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada 3 Mei lalu, media melaporkan kes jenayah komersial merekodkan purata 85 kes sehari pada tahun ini setakat 28 April lalu.

Ramli dilaporkan berkata, sepanjang tempoh 17 minggu itu, sebanyak 10,106 kes direkodkan melibatkan nilai kerugian mencecah RM866.2 juta.

Menurutnya, sebanyak 4,880 kertas siasatan telah berjaya dituduh di mahkamah sepanjang tempoh ini dan jumlah terbabit adalah bersamaan 48 peratus daripada jumlah kertas siasatan yang dibuka pada tahun ini.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!