Kes serangan Akhyar, Faisal tiada kaitan - Polis

Laporan Sinar Harian (kiri) dan Azli.
Laporan Sinar Harian (kiri) dan Azli.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kes pemain sayap Terengganu FC (TFC), Akhyar Rashid yang diserang individu tidak dikenali pada Khamis lalu tidak mempunyai kaitan dengan kejadian simbah asid melibatkan pemain bola sepak kebangsaan, Faisal Halim.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor menyatakan siasatan membabitkan kejadian menimpa Akhyar itu masih bermotifkan samun yang mendatangkan kecederaan.

"Setakat ini, tiada ada hubung kait antara kes Akhyar dan Faisal Halim yang disimbah asid oleh individu tidak dikenali di sebuah pusat beli-belah di Damansara pada Ahad.

"Kes menimpa Akhyar masih disiasat berkait dengan kes samun.

"Kita juga masih mengesan suspek yang terlibat. Setakat ini belum ada tangkapan dibuat," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.

Dalam pada itu, Azli menasihatkan kepada orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung dua kejadian tersebut.

Sebelum ini, Akhyar mengalami kerugian lebih RM4,800 setelah disamun dua lelaki bersenjata dalam kejadian di hadapan sebuah kondominium di Kuala Terengganu pada malam Khamis.

Azli berkata, pemain berusia 25 tahun itu disamun dua lelaki berpakaian gelap, memakai topeng muka serta membawa senjata besi boleh laras.

Artikel Berkaitan:

Akibat kejadian itu, mangsa yang dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) menerima enam jahitan iaitu empat jahitan pada bahagian atas kepala dan dua jahitan di atas tapak kaki kiri selain sakit pada anggota badan.

Selepas kejadian menimpa Akhyar, pemain bola sepak kebangsaan, Faisal Halim pula menjadi mangsa jenayah apabila disimbah asid dalam kejadian di sebuah pasar raya dekat Kota Damansara, Petaling Jaya pada Ahad.

Difahamkan perkara tersebut berlaku ketika pemain Selangor FC itu dihampiri dua individu bermotosikal sebelum bertindak menyimbah asid kepadanya mengakibatkan Faisal mengalami kelecuran tahap dua pada beberapa bahagian tubuh iaitu sekitar leher, bahu, lengan serta dada.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!