Kes Faisal, Akhyar: Polis akan tingkat keselamatan musim MFL

Muhamad Zaki
Muhamad Zaki
A
A
A

KOTA BHARU - Polis Kelantan akan meningkatkan pemantauan keselamatan sepanjang musim Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) jika ada maklumat berkaitan serangan terhadap pemain bola sepak di negeri ini.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, polis mempunyai strategi lain dan mencari pendekatan terbaik bagi memastikan perlawanan yang bermula minggu ini berjalan lancar.

"Kita mempunyai prosedur operasi standard (SOP) sedia ada bagi mengawal ketat pemain dan menjaga keselamatan mereka dalam setiap perlawanan yang berlangsung.

"Bagaimanapun, kita akan meningkatkan tahap keselamatan dan mengubah strategi kawalan jika ada maklumat berkaitan khianat terhadap pemain dan penonton," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai serangan terhadap dua pemain bola sepak kebangsaan, Akhyar Rashid dan Faisal Halim.

Beliau sebelum itu menghadiri Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri 2024 Bersama Warga PDRM Kontinjen Kelantan pada Isnin.

Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra dan Raja Perempuan, Tengku Anis mencemar duli memeriahkan majlis berkenaan.

Muhamad Zaki memberitahu, polis mengambil berat situasi serangan berkenaan dan mereka juga sentiasa bersedia bagi memastikan perlawanan berjalan lancar.

Artikel Berkaitan:

Media sebelum ini melaporkan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman sudah merakam dan meneliti keterangan Akhyar dan Faisal bagi mengenal pasti motif kejadian.

Akhyar disamun dan dipukul menggunakan senjata tumpul sehingga cedera dalam kejadian di Terengganu manakala Faisal disimbah dengan bahan dipercayai asid ketika berada di sebuah pasar raya di Selangor.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!