Suami orang dicekup berkhalwat dengan wanita bujang di rumah sewa

Hasil pemeriksaan mendapati lelaki terbabit berstatus suami orang dan bekerja di Johor Bahru, manakala wanita berkenaan masih bujang serta turut bekerja di bandar raya itu. Gambar hiasan
Hasil pemeriksaan mendapati lelaki terbabit berstatus suami orang dan bekerja di Johor Bahru, manakala wanita berkenaan masih bujang serta turut bekerja di bandar raya itu. Gambar hiasan
A
A
A

JOHOR BAHRU – Seorang lelaki berstatus suami orang dicekup penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) selepas dipercayai berkhalwat dengan seorang wanita bujang di sebuah rumah teres dua tingkat di Skudai, di sini.

Menurut kenyataan JAINJ, pasangan berusia lingkungan 20-an itu ditahan dalam operasi kira-kira jam 3.15 pagi, baru-baru ini susulan aduan awam.

“Ketika tiba di lokasi, iaitu sebuah rumah teres dua tingkat, penguat kuasa mendapati pagar hadapan tertutup dan terdapat sebuah kereta yang dipercayai milik lelaki berkenaan.

“Selepas mengetuk pagar, seorang lelaki keluar kira-kira lima minit kemudian dengan memakai seluar panjang dan kemeja-T,” menurut kenyataan itu.

Menurut JAINJ, lelaki terbabit kelihatan seperti baru terjaga daripada tidur sebelum mengakui tinggal bersama seorang wanita.

Penguat kuasa kemudian memperkenalkan diri dan meminta kebenaran untuk memasuki rumah bagi menjalankan pemeriksaan lanjut.

“Selepas masuk, penguat kuasa mendapati seorang wanita berpakaian tidur berlengan panjang dan berseluar panjang sedang duduk di atas karpet di ruang tamu.

“Apabila ditanya mengenai hubungan mereka, wanita itu mengaku hanya berkawan dan tidak mempunyai hubungan mahram dengan lelaki berkenaan,” menurut kenyataan itu.

Hasil pemeriksaan mendapati lelaki terbabit berstatus suami orang dan bekerja di Johor Bahru, manakala wanita berkenaan masih bujang serta turut bekerja di bandar raya itu.

Artikel Berkaitan:

Penguat kuasa turut memeriksa empat bilik di rumah sewa berkenaan dan mendapati hanya bilik utama digunakan, manakala tiga bilik lain kosong.

Menurut JAINJ, lelaki itu memaklumkan dia tidak lagi tinggal sebumbung dengan isterinya akibat masalah rumah tangga, malah isterinya menetap di sebuah taman perumahan kira-kira 20 kilometer dari lokasi berkenaan.

“Lelaki itu turut menyatakan hasrat untuk bernikah dengan wanita terbabit walaupun masih mempunyai isteri.

“Bagaimanapun, pengadu memaklumkan terdapat wanita yang datang ke rumah berkenaan selepas waktu bekerja sejak dua hingga tiga hari berturut-turut,” menurut kenyataan itu.

Pasangan berkenaan ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan khalwat mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor dan akan didakwa di Mahkamah Syariah.

JAINJ memaklumkan perkongsian kejadian itu dibuat sebagai pengajaran kepada masyarakat dan bukan bertujuan memalukan mana-mana individu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!