Kepala air Lahad Datu: Aktiviti river hiking tidak dapat kelulusan, kebenaran

Laporan Sinar Harian pada Isnin.
Laporan Sinar Harian pada Isnin.
A
A
A

LAHAD DATU - Polis mengesahkan sebanyak 15 individu terlibat dalam kejadian kepala air di Lembah Maksina, Makuau, Tungku dekat sini semalam.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dzulbaharin Ismail berkata, mereka terdiri daripada empat jurupandu warga asing yang membawa sekumpulan 11 pekerja sebuah kilang sawit di daerah ini melakukan aktiviti river hiking.

Beliau berkata, bagaimanapun aktiviti berkenaan tidak mendapat sebarang kelulusan atau kebenaran daripada Jabatan Perhutanan Sabah ataupun pihak bomba, malah tiada makluman dibuat kepada pihak polis dalam menjalankan aktiviti itu.

Menurut Dzulbaharin, kejadian itu mengakibatkan kematian kepada tiga individu iaitu dua pekerja kilang serta seorang jurupandu, yang ditemukan lemas pagi tadi.

"Bomba berjaya menyelamatkan sembilan pekerja kilang terbabit selepas mendapat maklumat daripada tiga jurupandu, kesemua 12 yang selamat ini terdiri daripada tiga wanita dan sembilan lelaki.

"Tiada sebarang makluman dilaporkan kepada Balai Polis Tungku, selain difahamkan jurupandu terlibat adalah tidak terlatih," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Dzulbaharin berkata, siasatan mendapati aktiviti di kawasan itu telah dihentikan dan ditutup oleh Jabatan Perhutanan Sabah kerana keadaan aktiviti itu yang tidak dikawal serta mencabar.

"River hiking ini memerlukan peserta berjalan kaki dalam air, perlu berenang dalam air, perlu pakai jaket keselamatan dan perlu dibantu sekiranya tidak boleh dengan menggunakan tali. Aktiviti ini bukan mendaki biasa kerana pendakian biasa hanya perlu naik bukit, turun bukit, pakai tongkat... tetapi ini lain, aktiviti ini agak mencabar.

Artikel Berkaitan:

"Laluan itu juga memang mencabar kerana laluan kiri dan kanan berbatu tinggi (seperti dinding), kalau datang (berlaku) kepala air memang tidak ada tempat untuk lari, kalau sungai biasa kita boleh lari ke tebing, ini tidak ada tebing," katanya.

Beliau sehubungan itu menasihati orang ramai yang mahu melakukan aktiviti lasak di air supaya mengambil tahu keadaan cuaca semasa, berhati-hati serta mengambil perhatian terhadap notis di sesuatu lokasi.

"Kegiatan yang mengorbankan tiga nyawa ini dibuat dalam kawasan hutan simpan, kejadian ini berlaku di Hutan Simpan Silabukan iaitu dilarang sama sekali memasuki hutan simpan. Notis telah dikeluarkan ada dua tempat iaitu di Lahad Datu, melibatkan Sungai Merabung dan Sungai Makuau," katanya.

Menurut Dzulbaharin, kejadian kepala air di Lembah Maksina merupakan pertama kali berlaku dan polis tidak mempunyai kuasa mengawal kawasan itu kerana ia di bawah bidang kuasa Jabatan Perhutanan Sabah. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!