Kedah, Wilayah Songkhla tubuh jawatankuasa khas sempadan

Muhammad Sanusi (kiri) berbual dengan Somnuk (kanan) ketika kunjungan hormat Gabenor Songkhla di Wisma Darul Aman pada Isnin.
Muhammad Sanusi (kiri) berbual dengan Somnuk (kanan) ketika kunjungan hormat Gabenor Songkhla di Wisma Darul Aman pada Isnin.
A
A
A

ALOR SETAR - Kedah dan Wilayah Songkhla, Thailand bersetuju untuk membentuk satu jawatankuasa khas bagi mengukuhkan hubungan dan memudahkan kerjasama dua hala antara kedua-dua pihak.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pembentukan jawatankuasa itu diputuskan selepas perbincangan dalam mesyuarat dihadiri wakil-wakil kerajaan negeri dan wilayah Songkhla.

Beliau berkata, kedua-dua pihak terbabit ingin mencari jalan meningkatkan lagi hubungan dua hala antara Kedah dan wilayah jirannya,Songkhla.

"Kita bersetuju untuk menubuhkan satu 'working group' antara Kedah dan Songkhla untuk menyelesaikan isu-isu untuk kebaikan bersama.

"Terutama sekali dalam sektor perdagangan, pelancongan, pendidikan dan budaya," katanya pada sidang akhbar sempena kunjungan hormat Gabenor Songkhla di Wisma Darulaman, di sini, pada Isnin.

Menurutnya, usaha kerjasama antara Kedah dan wilayah Selatan Thailand itu dilakukan untuk memaju serta meningkatkan sektor pelancongan.

"Kita mengetahui bahawa kemasukan rakyat Malaysia ke Thailand begitu ramai sekitar 4.8 juta setahun, namun kemasukan pelancong Thailand ke Malaysia agak kurang (dan) saya dimaklumkan sekitar 1.3 juta," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muhammad Sanusi (kiri) menerima kunjungan hormat Somnuk di Wisma Darulaman pada Isnin.
Muhammad Sanusi (kiri) menerima kunjungan hormat Somnuk di Wisma Darulaman pada Isnin.

Muhammad Sanusi berkata, beliau turut dimaklumkan pihak Thailand bahawa situasi terbabit berlaku disebabkan kesukaran rakyat Thailand dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.

Tambahnya, kebanyakan rakyat Malaysia dikatakan lebih fasih berbahasa Inggeris dan sebahagian mampu bertutur dalam Bahasa Thailand.

"Sebab itulah, lebih ramai rakyat Malaysia masuk ke Thailand," katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri.

Kongsi Muhammad lagi, kedua-dua pihak juga akan berbincang tentang usaha mempermudahkan urusan kemasukan kenderaan perdagangan membawa barangan segar dari Thailand ke Malaysia.

Sehubungan itu, beliau berkata, Kedah akan mengadakan lawatan balas ke Wilayah Songkhla dalam tempoh terdekat untuk membincangkan lebih lanjut beberapa isu berbangkit itu.

Tambahnya, kerajaan negeri juga akan memohon kepada agensi-agensi persekutuan untuk turut serta dalam lawatan balas ke Songkhla bagi isu-isu di bawah bidang kuasa kerajaan persekutuan.

Sementara itu, Gabenor Songkhla, Somnuk Promkheaw berkata, beliau menzahirkan penghargaan kepada Menteri Besar Kedah kerana menerima kunjungan hormat tersebut.

Beliau berpandangan, pihaknya berpeluang mengadakan perbincangan yang sangat membina untuk meningkatkan lagi kerjasama dari segi pelancongan, perdagangan, pendidikan serta kebudayaan.

Menurutnya, jawatankuasa khas sempadan juga akan ditubuhkan untuk mempromosi program kerjasama sempadan, sekaligus lebih memudahkan kerjasama dari segi ekonomi dan pelancongan pada masa akan datang.

"Terdapat banyak isu yang dibincangkan terutamanya dari segi pelancongan dan beberapa langkah akan diambil untuk mempromosikan pelancongan Malaysia kepada masyarakat.

"Saya juga untuk menggalakkan lebih ramai masyarakat Malaysia melancong ke Thailand dan selain itu kami ada juga membincangkan tentang masalah pengangkutan dari segi masa yang diambil terlalu lama di sempadan," katanya.

Tambah Somnuk, pihaknya juga ingin meningkatkan kerjasama dari segi pembangunan pendidikan selepas menerima cadangan daripada pihak Universiti Utara Malaysia (UUUM) untuk mewujudkan pusat pembangunan pembelajaran bahasa memberi fokus kepada Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris di Songkhla.

"Terdapat isu baharu hasil perbincangan tadi yang dikemukakan iaitu tentang masalah perkahwinan masyarakat Islam dari Malaysia apabila ada pasangan yang berkahwin di Songkhla tidak dapat mendaftarkan perkahwinan mereka di Malaysia.

"Jadi ini menimbulkan masalah pada masa hadapan sekiranya pasangan terbabit mempunyai anak yang tidak mempunyai Sijil Kelahiran sehingga menyukarkan mereka mendapat kewarganegaraan. Jadi kita sedia membantu pasangan terbabit menyelesaikan masalah ini," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!