[VIDEO] Sultan Selangor titah segera siasat insiden babitkan Faisal Halim

A
A
A

SHAH ALAM - Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah agar polis segera menyiasat insiden berunsur keganasan membabitkan pemain pasukan Selangor FC Muhammad Faisal Abdul Halim atau lebih dikenali Faisal Halim yang disimbah asid di sebuah pusat beli-belah pada Ahad.

Sultah Sharafuddin selaku Penaung Selangor FC dan Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah sebagai Presiden Selangor FC mengecam sekeras-kerasnya serangan tidak bermoral itu dan mahu Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyiasat kejadian hingga akar umbi serta mencari punca sehingga pelakunya dapat ditangkap segera.

Menerusi kenyataan di Facebook Selangor Royal Office, baginda juga bertitah mana-mana pihak yang mempunyai maklumat untuk tampil memberikan kerjasama kepada pihak polis.

Sultan Selangor bertitah agar polis segera menyiasat insiden berunsur keganasan membabitkan Faisal yang disimbah asid di sebuah pusat beli-belah pada Ahad. Foto Selangor Royal Office
Sultan Selangor bertitah agar polis segera menyiasat insiden berunsur keganasan membabitkan Faisal yang disimbah asid di sebuah pusat beli-belah pada Ahad. Foto Selangor Royal Office

"Baginda memandang serius kejadian ini dan mahu siasatan turut merangkumi kemungkinan sekiranya ada melibatkan kegiatan kumpulan yang berniat jahat atau keingkaran awam seperti samseng bola sepak atau hooliganisme.

"Baginda amat kecewa dan menganggap kejadian seumpama ini sebagai melampau kerana melibatkan nyawa ahli-ahli sukan,” menurut kenyataan itu.

Artikel Berkaitan:

Baginda turut menzahirkan kekhuatiran jika insiden seperti ini tidak dibanteras segera, ia akan terus melarat sehingga boleh mengundang perkara lebih buruk pada masa akan datang.

Baginda turut mendoakan agar Faisal Halim kembali sihak seperti sediakala dan dapat meneruskan khidmat sebagai pemain untuk pasukan Selangor FC.

Arena bola sepak tempatan hari ini dikejutkan dengan insiden pemain kebangsaan cedera dipercayai disimbah asid dalam kejadian di sebuah pusat beli-belah di Kota Damansara petang tadi.

Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor Mohd Najwan Halimi kemudiannya mengesahkan insiden tersebut menyebabkan Faisal Halim mengalami kelecuran tahap dua dengan kecederaan di beberapa bahagian tubuh iaitu di sekitar leher, bahu, lengan dan dada. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!