Mayat remaja tepi semak: Mangsa maut dikurung, diseksa sebelum mayat dibuang

Adzli menunjukkan suspek yang ditahan dalam kes tersebut bagi membantu siasatan.
Adzli menunjukkan suspek yang ditahan dalam kes tersebut bagi membantu siasatan.
A
A
A

ALOR SETAR – Mangsa yang ditemukan maut dalam keadaan terbaring di tepi semak berhampiran Jalan Harvard-Gurun pada Khamis disyaki dikurung selama dua hari dan diseksa sebelum meninggal dunia.

Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, mayat mangsa kemudian dicampakkan di lokasi kejadian sebelum ditemukan orang awam yang seterusnya membuat laporan kepada polis kira-kira pukul 8 pagi.

Menurut beliau, hasil siasatan yang dijalankan membawa kepada serbuan dan penahanan 14 lelaki tempatan berusia antara 16 hingga 24 tahun, termasuk dua remaja bawah umur, di sekitar Gurun dan Guar Chempedak.

“Si mati yang berusia 19 tahun dituduh mencuri motosikal oleh kumpulan suspek ini tanpa sebarang laporan polis dibuat.

“Suspek menjalankan siasatan sendiri sebelum menangkap mangsa pada 5 Oktober di Pendang. Mangsa kemudian dibawa ke rumah salah seorang suspek di Gurun dan dikurung selama dua hari.

“Sepanjang tempoh itu, mangsa dipukul, diseksa dan rambutnya digunting. Pada malam 7 Oktober, mangsa didapati telah meninggal dunia sebelum mayatnya dibuang secara kejam di tepi jalan dan ditemukan pada pagi 8 Oktober kira-kira pukul 8 pagi,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di sini pada Isnin.

Adzli ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah pada Isnin.
Adzli ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah pada Isnin.

Beliau berkata, polis turut merampas 14 telefon bimbit pelbagai jenama, sebuah kereta Honda City, sebilah gunting dan kad pengenalan mangsa.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, semua suspek direman selama enam hari sehingga 14 Oktober, manakala dua remaja bawah umur direman selama tiga hari bagi membantu siasatan.

Adzli berkata, hanya seorang daripada suspek mempunyai rekod lampau berkaitan kes dadah.

“Hasil bedah siasat mendapati punca kematian adalah konsisten dengan kecederaan pelbagai akibat hentakan objek tumpul (multiple injuries due to blunt force trauma),” katanya.

Dalam pada itu, beliau menghargai maklumat yang disalurkan orang awam sehingga membantu menyelesaikan kes pembunuhan berkenaan.

“Nasihat saya, sekiranya berlaku kes kecurian atau rompakan, buat laporan polis dan serahkan kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan.

“Orang awam boleh membantu menahan suspek dalam keadaan tertentu, namun tindakan tersebut tidak boleh melampaui batas sehingga menyebabkan kejadian seperti ini berlaku,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan ibu mangsa, Azura Zor, 41, tidak menyangka anak sulung daripada empat beradik, Muhammad Haikal Mohd Shahrilnizam, yang gagal dihubungi sejak sebulan lalu, akhirnya ditemukan dalam keadaan tidak bernyawa.

Sinar Harian sebelum ini turut melaporkan penemuan mayat seorang lelaki berpakaian sukan berwarna hitam dan kuning di lokasi kejadian, namun identitinya ketika itu masih belum dikenal pasti.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!