Bekas pemain bola sepak berdepan hukuman mati, didakwa edar 72 kg kanabis

Tertuduh diiringi anggota polis untuk dituduh di Mahkamah Majistret pada Selasa.
Tertuduh diiringi anggota polis untuk dituduh di Mahkamah Majistret pada Selasa.
A
A
A

ALOR SETAR – Seorang bekas pemain bola sepak didakwa di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis atau ganja seberat 72 kilogram (kg) pada September lalu.

Tertuduh, Muhammad Faiz Nazri, 26, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Eliana Ismail pada Selasa.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mengedar dadah berbahaya jenis kanabis seberat 72 kg di tepi jalan selepas Plaza Tol Alor Setar Selatan, di sini, kira-kira jam 6.30 petang pada 24 September lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman mati atau penjara seumur hidup. Jika hukuman mati tidak dikenakan, tertuduh hendaklah dikenakan sebatan tidak kurang daripada 12 kali.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nur Sharmila Md Asri, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, yang pernah beraksi bersama pasukan Piala Presiden sebuah negeri, kerana kes tersebut berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mahkamah tidak menawarkan jaminan kepada tertuduh dan menetapkan 2 Februari tahun depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Tertuduh yang berasal dari Perlis kemudian diperintahkan menjalani tahanan di Penjara Alor Setar sehingga tarikh sebutan tersebut.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!