Isteri orang ditangkap khalwat bersama duda dalam bilik sewa

Seorang wanita berstatus isteri orang ditangkap khalwat bersama seorang duda berusia lingkungan 60-an dalam serbuan di sebuah bilik sewa.
Seorang wanita berstatus isteri orang ditangkap khalwat bersama seorang duda berusia lingkungan 60-an dalam serbuan di sebuah bilik sewa.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang wanita berstatus isteri orang ditangkap khalwat bersama seorang duda berusia lingkungan 60-an dalam serbuan di sebuah bilik sewa di rumah kedai di Taman Maju Jaya, di sini, Jumaat lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.20 tengah hari itu, sepasukan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) menjalankan pemeriksaan selepas menerima maklumat daripada orang awam berhubung kegiatan mencurigakan di premis berkenaan.

Menurut JAINJ, sebaik tiba di lokasi, anggota penguat kuasa naik ke tingkat atas bangunan sebelum memeriksa beberapa bilik sewa di situ.

"Ketika pemeriksaan, penguat kuasa mengetuk pintu sebuah bilik sebelum dibuka kira-kira lima minit kemudian oleh seorang lelaki yang hanya memakai seluar pendek tanpa berbaju.

"Pemeriksaan lanjut menemukan seorang wanita berusia lingkungan 50-an sedang duduk di atas katil bujang dalam keadaan berpakaian lengkap," menurut kenyataan itu.

Difahamkan, kedua-dua individu berkenaan kelihatan gelisah ketika pemeriksaan dijalankan sebelum mengakui mereka bukan pasangan suami isteri.

Lelaki terbabit merupakan warga tempatan berasal dari Pulau Pinang yang berstatus duda dan bekerja di Singapura, manakala wanita berkenaan bekerja di Johor Bahru.

Pemeriksaan lanjut mendapati keadaan katil di dalam bilik itu tidak terurus, selain pakaian lelaki dan wanita ditemukan bercampur di dalam almari.

Siasatan awal mendapati bilik berkenaan disewa oleh lelaki terbabit yang sebelum ini tinggal bersendirian, manakala bilik lain di premis sama turut dihuni penyewa lelaki.

Artikel Berkaitan:

Wanita berkenaan dipercayai berada di bilik sewa itu sejak dua hingga tiga hari sebelum serbuan dilakukan.

Ketika disoal, wanita terbabit memberi alasan terpaksa keluar dari rumah akibat masalah rumah tangga dengan suaminya.

Lelaki berkenaan pula mendakwa hanya berniat membantu dengan membenarkan wanita itu menumpang di bilik sewanya.

Bagaimanapun, wanita terbabit pada mulanya mendakwa sudah bercerai dengan suaminya sebelum menjelaskan bahawa proses perceraian masih berjalan.

Susulan itu, penguat kuasa menasihatinya supaya tidak membuat pengakuan sudah bercerai selagi perceraian berkenaan belum disahkan oleh Mahkamah Syariah.

Kedua-dua individu terbabit ditangkap kerana disyaki melakukan kesalahan khalwat mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Negeri Johor) 1997.

Mereka akan dihadapkan ke Mahkamah Syariah bagi tindakan lanjut.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!