Kenyataan Faisal, Akhyar penting bantu siasatan, kenal pasti suspek

Laporan Sinar Harian
Laporan Sinar Harian
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis sedang menjalankan siasatan pelbagai aspek bagi mengenal pasti motif utama berhubung insiden jenayah yang berlaku terhadap dua pemain bola sepak negara.

Sumber Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman berkata, meskipun kedua-dua kes itu berlaku dalam jarak masa yang dekat, namun ia berkemungkinan tidak mempunyai kaitan.

"Pada masa ini tumpuan polis adalah mendapatkan kenyataan kedua-dua mangsa bagi mengenal pasti motif.

"Pada masa ini kenyataan kedua-dua individu itu (Faisal Halim dan Akhyar Rashid) serta saksi kejadian amat penting dalam membantu siasatan pihak polis.

"Selain itu, saksi-saksi lain yang berkemungkinan dapat berkongsi maklumat dengan menghubungi pegawai penyiasat kedua-dua kes terbabit," katanya.

Menurutnya, siasatan masih berada di peringkat awal dan usaha pada masa ini adalah lebih kepada mencari motif dan pelaku kes berkenaan.

"Orang ramai diminta tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kedua-dua kejadian yang menimpa Faisal dan Akhyar.

"Tindakan menyebarkan sebarang maklumat yang tidak tepat boleh mengganggu siasatan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sebelum itu, bintang Selangor FC dan skuad kebangsaan, Faisal mengalami kecederaan di bahagian lengan dan badannya selepas diserang seorang individu tidak dikenali dengan menggunakan bahan dipercayai asid.

Beliau dikatakan diserang ketika berada di sebuah pasar raya terkemuka di Kota Damansara, Petaling Jaya, kira-kira jam 5 petang Ahad.

Sementara itu, pada Khamis lalu, pemain kebangsaan dan juga Terengganu FC, Akhyar diserang sebelum disamun di Kuala Terengganu.

Akhyar dikatakan dipukul menggunakan senjata tumpul di bahagian kepalanya sehingga menyebabkan pemain terbabit mengalami kecederaan.

Difahamkan, suspek melarikan telefon bimbit dan dompet pemain tersebut sebelum melarikan diri.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!