Polis siasat dakwaan pegawai kanan SPRM terima rasuah RM350,000, hantaran fitnah

KUALA LUMPUR - Polis membuka dua kertas siasatan berhubung dakwaan pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerima RM350,000 daripada seorang individu pada 13 November 2017 dan hantaran yang ditularkan di media sosial.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, satu kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan iaitu penjawat awam menerima benda yang berharga dengan tiada balasan daripada orang yang ada kena mengena dalam apa-apa prosiding atau urusan yang dijalankan oleh penjawat awam itu.
"Jika disabitkan kesalahan hendaklah dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh yang boleh sampai dua tahun atau denda atau kedua-duanya," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata, satu kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan iaitu memfitnah.
Katanya, jika disabitkan kesalahan hendaklah dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh yang boleh sampai dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
Selain itu siasatan juga dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu pengunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.
"Jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM500,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya," ujarnya.
Kata M Kumar, permohonan Order To Investigate (OTI) di bawah Seksyen 108 (2) Kanun Tatacara Jenayah akan dikemukakan kepada pendakwa raya bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.
"Ini termasuklah merakam percakapan saksi-saksi dan mendapatkan pengesahan status siasatan terdahulu oleh SPRM," ujarnya.
Jelasnya, masyarakat diingatkan agar tidak membuat spekulasi berkaitan kes ini sementara PDRM melengkapkan siasatan demi menghormati prinsip keadilan jenayah di negara ini.
"Orang ramai turut dinasihatkan agar menggunakan media sosial secara berhemah serta bertanggungjawab demi memastikan keamanan dan keselamatan negara terus terpelihara," ujarnya.
Sabtu lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Abd Halim Aman dilaporkan berkata, pihaknya menubuhkan pasukan khas bagi menyemak dan meneliti semula dakwaan rasuah berjumlah RM350,000 yang dikaitkan dengan seorang pegawai kanannya.
Jelas Abd Halim, arahan penubuhan pasukan khas itu dikeluarkan segera susulan gesaan serta penularan semula isu berkenaan baru-baru ini.
Beliau juga menjelaskan, dakwaan berkenaan pernah disiasat pada 2018, namun kes itu ditutup selepas tiada sebarang kesalahan dapat dibuktikan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
