Inkues Zara Qairina: Ibu enggan bedah siasat, polis tidak mahu susahkan ahli keluarga - Pegawai penyiasat

KOTA KINABALU - Pegawai penyiasat kes kematian Zara Qairina Mahathir memberitahu Mahkamah Koroner bahawa borang POL 61 bagi permohonan menjalankan bedah siasat tidak dikeluarkan kerana terdapatnya punca kematian remaja tersebut.
Inspektor Wong Yew Zhung yang merupakan saksi ke-83 dalam prosiding inkues kematian Zara Qairina berkata, keputusan itu juga dibuat kerana tidak mahu menyusahkan keluarga Allahyarham selepas ibu Zara Qairina menolak untuk proses bedah siasat anaknya.
"Ya betul, sebab masa itu kami pun tidak mahu menyusahkan ahli keluarga Zara dan oleh itu, tiada paksaan untuk menjalankan bedah siasat," katanya ketika menjawab soalan peguam Nurul Rafeeqa Abdul Mutolip.
Sebelum itu, Nurul Rafeeqa bertanya kepada saksi, bahawa beliau boleh mengeluarkan borang POL 61 tanpa kebenaran ibu remaja itu, Noraidah Lamat, walaupun wanita berkenaan enggan membenarkan bedah siasat dijalankan.
Bagaimanapun, ketika diminta menjelaskan sama ada keputusan tidak mengeluarkan borang berkenaan dibuat kerana tidak mahu menyusahkan keluarga, Yew Zhung berkata, terdapat beberapa faktor lain yang turut diambil kira termasuk punca kematian yang sudah diketahui.
"Kalau lagi spesifik, ia disebabkan ada punca kematian, keengganan bedah siasat dan tiada kecederaan lain selain kecederaan akibat jatuh dari tempat tinggi.
"Oleh itu, pada masa berkenaan saya tidak mengeluarkan borang POL 61," katanya.
Ketika ditanya mengenai punca kematian yang dikenal pasti pada ketika itu, Yew Zhung memaklumkan Zara Qairina mengalami kecederaan otak traumatik yang teruk berserta hypoxic-ischemic encephalopathy.
Sementara itu, menjelaskan asas beliau mengklasifikasikan kematian remaja berusia 13 tahun itu sebagai laporan kematian mengejut (SDR), Yew Zhung berkata, keputusan berkenaan dibuat berdasarkan hasil siasatan awal termasuk pemeriksaan lokasi kejadian, penemuan diari, keterangan rakan mangsa serta diagnosis doktor.
"Sebagai pegawai penyiasat, saya menjalankan siasatan awal seperti melawat tempat kejadian, kemudian berdasarkan ketinggian tembok, hasil penemuan diari, hasil temu bual dengan rakan yang turut menceritakan bahawa Zara pernah menyebut mahu terjun serta diagnosis doktor.
"Selepas itu, saya mengklasifikasikan kes berkenaan sebagai laporan kematian mengejut," katanya.
Menurut Yew Zhung, klasifikasi SDR itu dibuat pada 17 Julai 2025, kira-kira jam 6 petang, selepas beliau menjalankan siasatan awal berhubung kejadian berkenaan.
Ketika disoal mengenai tindakan siasatan yang sudah dilakukan sebelum klasifikasi itu dibuat, Yew Zhung menjelaskan bahawa beliau telah mengetahui kewujudan diari, mengambil keterangan rakan mangsa serta memeriksa lokasi kejadian khususnya kawasan tembok yang berkaitan.
"Pada masa itu, saya sudah mengetahui kewujudan diari, kemudian saya sudah menemu bual rakan dan mengambil keterangan mereka, selain menjalankan siasatan dengan melawat tempat kejadian yang berkaitan dengan tembok.
"Oleh itu, saya mengklasifikasikan kes sebagai laporan kematian mengejut untuk menentukan cara kematiannya," katanya.
Bagaimanapun, apabila ditanya mengenai cara kematian Zara Qairina, Yew Zhung menjelaskan bahawa siasatan diteruskan selepas laporan SDR dibuka termasuk dengan mengambil keterangan lanjut daripada pelajar yang tinggal bersama Allahyarham serta guru di sekolah berkenaan.
"Selepas saya membuka laporan kematian mengejut, saya meneruskan siasatan kes dengan mengambil lebih banyak keterangan daripada pelajar yang tinggal bersama Zara dan juga guru bagi tujuan laporan kematian mengejut," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
