Penternak ikan air tawar reka alat pam air tangani musim kemarau

Tangki pengepam air yang direka bagi menyelamatkan ikan dan benih ikan akibat kemarau
Tangki pengepam air yang direka bagi menyelamatkan ikan dan benih ikan akibat kemarau
A
A
A

KOTA BHARU - Persatuan Penternak Ikan Air Tawar Kampung Bilok Banggu dekat sini mengambil inisiatif memasang tangki pengepam air bagi membolehkan ternakan ikan air tawar bertahan dalam keadaan kemarau yang semakin membimbangkan.

Pengerusinya, Nik Hassan Raja Abdullah berkata, peralatan itu direka khas hasil kerjasama lebih 90 ahli yang sebelum ini mengalami kerugian kira-kira RM100,000 akibat kematian benih dan ikan.

Menurutnya, kos keseluruhan tangki pengepam yang menggunakan enjin dan petrol itu ialah berjumlah kira-kira RM7,000.

"Kami menternak sebahagian besarnya ialah ikan patin selain keli dalam tali air sepanjang lebih dua kilometer (km) yang kini mengalami penyusutan air sangat luar biasa," katanya ketika ditemui di sini pada Sabtu.

Nik Hassan memberitahu, tangki pengepam itu membolehkan mereka mengepam air sehingga kedalaman 40 meter bagi membolehkan air ditakung di tali air yang sedang mengering.

Keadaan air di kawasan ternakan ikan yang semakin mengering
Keadaan air di kawasan ternakan ikan yang semakin mengering

Jelasnya, sebelum ini mereka turut berusaha membina lima pancang bumi atau air boring di sepanjang kawasan ternakan ikan terbabit, namun gagal membantu air di permukaan tali air itu bertahan.

"Jadi kami terpaksa memikirkan kaedah terbaik bagi menyelamatkan ikan yang kini 'dalam bahaya' kerana boleh mati pada bila-bila masa," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah Nik Hassan lagi, ada penternak yang terpaksa memindahkan ikan dan mencari pembeli bagi mengelakkan kerugian lebih besar.

Dalam pada itu, seorang penternak, Radzuan Jusoh, 65, pula mendakwa, tahun ini merupakan kemarau paling teruk sejak lebih 60 tahun lalu.

Radzuan yang juga pesara tentera menternak ikan patin lebih 22 tahun lalu tetapi tidak pernah berdepan cuaca panas yang teruk.

"Saya mengalami kerugian kasar kira-kira RM4,000 apabila benih ikan sebanyak 30,000 ekor musnah akibat kemarau," katanya.

Sementara itu, Ketua Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP), Raja Zakaria Raja Abdullah berkata, pihaknya berusaha membantu penternak ikan terbabit dengan memperuntukkan modal membina tangki pengepam air.

Beliau berkata, tangki itu diharap dapat membantu mengurangkan masalah yang dialami penternak berikutan kerugian besar yang dialami mereka.

"Insya-ALLAH saya akan membuat permohonan bantuan yang bersesuaian dengan pihak berkaitan bagi mengurangkan beban dan tanggungan risiko yang dialami penternak," katanya.

Jelasnya lagi, penternak juga buntu selepas beberapa usaha dilakukan termasuk solat istisqa bagi memohon hujan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!