Renjis kereta dengan ‘air tawar’ khurafat? Ini penjelasannya

PERBUATAN merenjis atau memandikan kereta bukanlah amalan baru. Bagaimanapun, perkara ini mendapat perhatian orang ramai beberapa hari kebelakangan ini.
PERBUATAN merenjis atau memandikan kereta bukanlah amalan baru. Bagaimanapun, perkara ini mendapat perhatian orang ramai beberapa hari kebelakangan ini.
A
A
A

PERBUATAN merenjis atau memandikan kereta yang baru dibeli bukanlah perkara baru dalam kalangan masyarakat Islam di negara ini.

Bahkan sehari dua ini seorang tokoh ulama terkenal di selatan Thailand turut memuat naik video rakaman beliau melakukan perbuatan tersebut dan mendapat perhatian ramai terutamanya umat Islam di negara ini.

Timbul persoalan di benak fikiran, apakah perbuatan tersebut ada dalil yang membolehkan ia dilakukan? Apakah ia termasuk dalam amalan khurafat?

Pendakwah, Dr Nasaie Hanaffie menjelaskan, ‘air tawar’ adalah istilah yang masyhur di negeri Kelantan.

“Ia juga dikenali dengan nama air rukyah yang merujuk kepada air yang dijampi dengan bacaan ayat al-Quran, selawat dan doa.

“Amalan ini adalah amalan yang bermanfaat dan salah satu daripada cara rawatan Islam,” katanya seperti dikongsikan dalam Facebook miliknya.

DR NASAIE HANAFFIE
DR NASAIE HANAFFIE

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, Ibnu Al-Qayyim berkata dalam Madarij as-Salikin: “Aku telah ditimpa sakit yang sangat mengganggu sehinggakan sakit tersebut hampir mematikan pergerakanku dan perkara ini berlaku semasa tawaf dan selain tawaf.

“Lalu aku bersegera membaca (Surah) al-Fatihah dan aku (meniup ke tapak tanganku selepas bacaan tersebut lalu) mengusapnya di tempat yang sakit, maka sakit tersebut hilang sebagaimana anak batu yang jatuh.

“Aku telah mengalami perkara ini berkali-kali. Aku juga pernah mengambil bekas yang berisi air zamzam lalu aku membacakan ke atas air tersebut Surah al-Fatihah berkali-kali, lalu aku meminumnya. Aku dapati manfaat dan kekuatan daripadanya apa yang aku tidak pernah perolehi sepertinya daripada ubat-ubatan,” katanya.

Dalam kitab Al-Adab asy-Syar’iyyah oleh Ibnu Muflih pula ada menyebutkan bahawa Soleh (anak Imam Ahmad) berkata: “Ada ketikanya aku sakit lalu ayahku telah mengambil satu bekas air dan membaca (al-Quran) ke atasnya. Beliau berkata kepadaku: Minumlah air ini dan basuhlah muka dan tanganmu dengannya.

“Abdullah (anak Imam Ahmad) menukilkan bahawa dia pernah melihat ayahnya menta’wiz (membaca jampi) ke dalam air dan membaca al-Quran ke dalamnya.

Beliau kemudian meminumnya dan menjiruskan ke atas badannya.

Menurut Nasaie, dari nukilan tersebut dapat difahami bahawa adalah menjadi amalan para ulama untuk berubat dengan cara di atas sama ada dilakukan sendiri ataupun oleh orang lain.

Bagaimanapun menurutnya, tidak dinafikan ada pihak yang ‘skeptik’ dengan ‘air tawar’ untuk berubat manusia walaupun amalan tersebut dilakukan oleh sebahagian ulama seperti Imam Ahmad dan Ibnu Al-Qayyim, apatah lagi jika ia dijadikan rukyah untuk kenderaan seperti kereta.

Merujuk kepada amalan rukyah kenderaan, beliau membahagikan kepada dua situasi.

1 – Kenderaan tersebut meragam dan sangkaan kuat bahawa ia terkena (penyakit) ain.

“Terdapat beberapa fatwa daripada masyaikh (Arab) Saudi sendiri yang menganjurkan untuk merukyah kenderaan yang terkena aain dengan cara biasa iaitu dengan memandikan kenderaan tersebut dengan bekas air mandi atau bekas air wuduk orang yang menjadi punca ain tersebut.

“Jika tidak diketahui puncanya, mereka menyatakan boleh untuk menggunakan ‘air tawar’ untuk membasuh atau merenjis kenderaan tersebut, bahkan boleh dimasukkan ke dalam radiator. Perkara ini adalah mujarab,” katanya.

2 – Kenderaan baru atau lama yang masih belum terkena ain.

“Boleh dikatakan bahawa para ulama sepakat akan pensyariatan rukyah kenderaan dengan cara membaca ayat al-Quran, doa dan mengucapkan Masya-Allah (tanpa dibacakan ke dalam air).

“Adapun merukyah kenderaan yang masih belum terkena ain dengan cara menggunakan ‘air tawar’, ulama berselisih kepada dua pendapat iaitu tidak menganjurkannya atas alasan tidak dibuat oleh Rasulullah SAW,” katanya.

Jelasnya, apa yang ada ialah rukyah melalui bacaan sahaja tanpa dibaca ke dalam air dan digunakan untuk merenjis atau membasuh kenderaan tersebut.

“(Pendapat kedua) tidak mengapa untuk direnjiskan atau dibasuh kenderaan tersebut dengan ‘air tawar’ kerana jika ia boleh untuk kenderaan yang terkena ain, maka lebih awla (utama) untuk dibolehkan sebagai langkah pencegahan.

“Apapun untuk kes ini, ia masih memerlukan kajian lanjut lagi,” katanya.

KERATAN sebuah video yang tular di media sosial menunjukkan seorang tokoh ulama dari selatan Thailand merenjiskan air ke kereta.
KERATAN sebuah video yang tular di media sosial menunjukkan seorang tokoh ulama dari selatan Thailand merenjiskan air ke kereta.

Sementara itu, Pejabat Mufti Negeri Selangor yang pernah menjawab persoalan sama dalam laman web rasminya menjelaskan, perbuatan merenjis atau membilas kenderaan bagi mengelakkan musibah adalah sesuatu yang tidak disyariatkan.

“Hukumnya tidak harus kerana menimbulkan fitnah dan tohmah terhadap masyarakat Islam.

“Jika berlaku sesuatu musibah ucaplah sebagaimana firman ALLAH SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 156: (Iaitu) orang yang apabila mereka ditimpa musibah, mereka berkata: Sesungguhnya kami adalah kepunyaan ALLAH dan kepada ALLAH jualah kami kembali,” katanya.

Jabatan itu turut menjelaskan, cara menghindari daripada penyakit ain bukanlah dengan menyiram atau merenjis air ke kereta namun perlu mengikuti panduan yang dinyatakan oleh hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Abi Said RA:

“Adalah Rasulullah SAW berlindung diri kepada ALLAH daripada penyakit pandangan jahat jin dan juga manusia. Maka ketika turun surah al-Muawwizatan (iaitu Surah al-Falaq dan Surah an-Nas) Baginda mengamalkannya dan meninggalkan yang lain.” (Hadis Riwayat Ibnu Majah)

“Justeru, amalkan bacaan Surah al-Falaq dan Surah an-Nas sebagai pelindung diri daripada kejahatan jin, manusia dan makhluk lainnya.

“Selepas semua usaha dilakukan seperti memastikan kenderaan diservis, memandu secara berhemah, mematuhi isyarat di jalanraya dan sebagainya, maka bertawakkallah kepada ALLAH SWT,” katanya.