Penguat kuasa 'ikan bilis' dalam agensi kerajaan boleh ancam keselamatan negara

Pintu sempadan negara perlu dikawal oleh anggota penguat kuasa yang berintegriti. Gambar hiasan
Pintu sempadan negara perlu dikawal oleh anggota penguat kuasa yang berintegriti. Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Peningkatan anggota dalam agensi penguat kuasa yang terlibat dengan rasuah dan culas integriti boleh mengancam ketenteraman awam serta keselamatan negara.

Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) berkata, walaupun golongan tersebut berpangkat rendah tetapi mereka diberi kuasa untuk menahan kenderaan, menggeledah dan menangkap sesiapa sahaja melakukan jenayah atau penyeludupan merentas sempadan.

“Namun, ketirisan boleh berlaku sekiranya mereka melindungi sindiket penyeludupan atau aktiviti haram untuk mendapatkan habuan suapan rasuah dan boleh dikategorikan sebagai pengkhianat kepada agama serta negara.

“Bayangkan apa akan berlaku jika anggota penguat kuasa di sempadan dengan Thailand, bertindak melepaskan pengedar dadah, pemerdagangan manusia dan penyeludup barang larangan khususnya senjata api tanpa diperiksa atau permit sah.

“Jika barang terlarang seperti senjata api itu sampai ke tangan penjenayah di bandar utama, kes rompakan, pembunuhan dan peras ugut pasti menjadi ancaman kepada nyawa dan harta benda orang awam,” kata MCW yang merujuk golongan ini sebagai penguat kuasa 'ikan bilis'.

Tambah MCW lagi, ia juga akan memberi kesan buruk kepada pendapatan negara jika pelabur asing dan pelancong takut datang kerana jenayah berlaku secara berleluasa.

“Begitu juga jika dadah diseludup masuk ke negara ini, yang kita rata-rata mengetahui kebanyakan bekalan dadah yang masuk ke negara ini datang dari negara jiran.

Kesannya amat besar apabila ada sindiket penyeludupan dan pengedar dadah menjual dadah kepada belia serta pelajar sekolah.

Artikel Berkaitan:

“Oleh itu, tidak hairan jika pusat pemulihan dadah di negara ini selalu dipenuhi dengan belia yang terlibat dengan najis dadah,” ujarnya.

Mengulas lanjut, MCW bimbang kebanyakan rakyat tidak memandang serius akibat daripada jenayah rasuah yang berleluasa kini.

Katanya, pegawai awam yang dikategorikan 'ikan bilis' oleh masyarakat adalah mereka yang terlibat dengan urusan tender terbuka atau sebut harga daripada aspek saiz nilai kontrak, bentuk dan jumlah projek diluluskan di peringkat kementerian atau agensi kerajaan tertentu.