Draf Ordinan Buruh Sarawak telah dimuktamadkan - Gerawat

Gerawat. Foto Bernama
Gerawat. Foto Bernama
A
A
A

KUCHING - Draf pindaan Ordinan Buruh Sarawak (SLO) telah dimuktamadkan dan diserahkan kepada Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) untuk tindakan selanjutnya serta dihantar ke Jabatan Peguam Negara.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek), Datuk Gerawat Gala berkata, pindaan berkenaan adalah selari dengan Konvensyen Buruh Antarabangsa dan pindaan terbaharu Akta Kerja 1955 (Pindaan 2022) untuk manfaat kedua-dua pihak antara majikan dan pekerja.

"Antara cadangan pindaan itu ialah cuti paterniti sebanyak tujuh hari kepada pekerja lelaki supaya mereka dapat menyambut kelahiran anak, menjaga isteri yang baru bersalin dan menyelesaikan urusan seperti pendaftaran anak.

"Selain itu, cuti bersalin ditingkatkan daripada 60 hari kepada 98 hari. Cadangan ini selaras dengan Maternity Protection Convention 2000 yang memperuntukkan tempoh cuti bersalin hendaklah tidak kurang daripada 14 minggu," katanya berucap pada Majlis Sambutan Hari Pekerja Peringkat Sarawak di sini pada Rabu.

Beliau berkata, pindaan itu juga termasuk pengurangan waktu kerja mingguan dari 48 jam kepada 45 jam untuk meningkatkan produktiviti buruh dan memelihara kebajikan pekerja serta keluarga.

Menurut Gerawat, Kerajaan Sarawak turut mengalu-alukan dan menyokong inisiatif kerajaan Persekutuan terhadap cadangan pelaksanaan gaji progresif sekiranya inisiatif berkenaan memanfaatkan pekerja swasta di negeri itu.

"Bagi memberi peluang kepada pekerja tempatan berbanding kebergantungan terhadap pekerja asing ke negeri ini, kerajaan Sarawak telah memperketat polisi kemasukan pekerja asing ke negeri ini.

"Sistem permohonan pekerja asing telah diperkemas dari semasa ke semasa bagi mengelak kebanjiran pekerja asing di negeri ini,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!