Tanah runtuh Cameron Highlands: Kementerian Sumber Asli tunggu laporan lengkap

Insiden tanah runtuh di Blue Valley Cameron Highlands.
Insiden tanah runtuh di Blue Valley Cameron Highlands.
A
A
A

BUTTERWORTH - [DIKEMAS KINI] Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim sedang menunggu laporan lengkap berhubung insiden tanah runtuh di Batu 54, Blue Valley, Cameron Highlands yang dilaporkan pada Jumaat lalu.

Menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, kementeriannya bersama pihak lain seperti pihak berkuasa tempatan (PBT) dan kerajaan negeri sedang mendapatkan semua maklumat berkaitan dan laporan berkaitan insiden itu sebelum memaklumkan tentang tindakan segera yang perlu diambil.

"Sememangnya perkara ini perlu diberi perhatian serius agar tidak berulang lagi dan kita perlu mendapatkan gambaran sebenar apa yang terjadi.

"Jadi pihak Kementerian Sumber Asli bersama-sama pihak-pihak lain yang terlibat, PBT, kerajaan negeri akan kumpul semua info-info tersebut sebelum kita memaklumkan tentang tindakan segera yang perlu diambil," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Pejabat PKR Cabang Bagan di sini pada Ahad.

Nik Nazmi menurunkan tandatangan sebagai simbolik perasmian Pejabat PKR Cabang Bagan yang diadakan pada Ahad.
Nik Nazmi menurunkan tandatangan sebagai simbolik perasmian Pejabat PKR Cabang Bagan yang diadakan pada Ahad.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan lima maut selepas tertimbus dalam kejadian tanah runtuh yang berlaku di Batu 59 Kampung Raja, Cameron Highlands pada Jumaat lalu.

Kelima-lima mangsa yang maut berusia antara 25 hingga 56 tahun dikenal pasti sebagai warga Myanmar.

Artikel Berkaitan:

Sahabat Alam Malaysia (SAM) bimbang dengan semua projek di Cameron Highlands yang terdedah pada kejadian tanah runtuh terutamanya ketika hujan lebat.

Walaupun punca kejadian belum dapat disahkan, projek di kawasan bukit yang semakin banyak dilihat amat membimbangkan.

Sehubungan itu, Presidennya, Meenakshi Raman berkata, kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan perlu menarik semula kebenaran yang diberikan terhadap projek pembangunan di kawasan sensitif terhadap alam sekitar susulan intensiti hujan yang belum pernah berlaku sebelum ini.

Menurutnya, pada Januari lalu, Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah mengarahkan supaya kajian semula semua projek di kawasan bukit dan tanah tinggi di Cameron Highlands dilaksanakan kerana bimbang berlaku bencana berikutan hujan lebat.