DPPPM-WC mahu pelaburan antara Malaysia dan China dipertingkat

Dr. Mazlan (tiga dari kanan) bersama Jun (tiga dari kiri) bersama sebahagian jawatankuasa penganjur.
Dr. Mazlan (tiga dari kanan) bersama Jun (tiga dari kiri) bersama sebahagian jawatankuasa penganjur.
A
A
A

DEWAN Perniagaan, Perindustrian dan Pelaburan Malaysia-Wuxi China (DPPPM-WC) berusaha untuk meningkatkan pelaburan antara Malaysia dan China dengan menggalakkan usahawan dari kedua-dua negara meneroka pasaran masing-masing dengan memanfaatkan hubungan dua hala yang kukuh.

Presiden DPPPM-WC yang baru dilantik Dr Liu Jun melihat ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia-China sebagai masa yang sesuai bagi mempelawa pelabur China di Wuxi yang berminat untuk berkembang melangkaui China, terutamanya ke Asia Tenggara (SEA).

"Kami (usahawan China) mahu mengembangkan perniagaan kami secara global. Selepas penyelidikan yang mendalam, pemilik perniagaan kami memilih Malaysia atas beberapa sebab yang menarik.

"Malaysia menawarkan persekitaran antarabangsa yang mana kami boleh berkomunikasi dalam bahasa ibunda kami dengan kebanyakan rakyat Malaysia. Selain itu, negara ini mempunyai iklim politik yang stabil serta agak mudah membuat urusan menjalankan perniagaan berikutan adanya rantaian bekalan yang baik yang boleh membantu kami mengembangkan perniagaan dengan lebih pantas,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian perlantikan presiden di sini pada Selasa.

Jun merupakan pengasas serta pengerusi syarikat tersenarai China, Unicomp Technology, yang baru sahaja membuka pangkalan pengeluaran luar negara pertamanya, Ray Tech (Malaysia) di Johor pada 25 April lepas.

Beliau menyatakan bahawa di Wuxi, 30 peratus daripada lebih 2,000 ahli pelbagai organisasi perniagaan yang dipengerusikannya telah menyatakan hasrat mereka untuk mengembangkan perniagaan ke luar negara, terutamanya di Asia Tenggara.

"Saya berharap DPPPM-WC akan berfungsi sebagai platform terbaik untuk mempromosikan termasuk menyumbang kepada pertukaran hubungan serta kerjasama yang lebih erat antara China dan Malaysia dalam pelbagai bidang seperti teknologi, ekonomi, perdagangan, budaya, pendidikan, sukan dan belia,” kata Jun yang juga merupakan perintis dalam teknologi fizik sinar-X dalam sektor berteknologi tinggi China.

Artikel Berkaitan:

Melangkah ke hadapan, beliau berkata dewan itu sedang menyediakan pelbagai aktiviti kepada usahawan di kedua-dua pihak, termasuk membawa perniagaan Malaysia melawat Wuxi, sebuah bandar di selatan wilayah Jiangsu, yang terletak kira-kira sejam pemanduan dari Shanghai.

Wuxi, dikenali sebagai salah satu tempat kelahiran perindustrian moden di China, bertujuan untuk menjadi Lembah Silikon Chiplet atau 'Chiplet Valley'.

Menurut laporan berita tahun lepas, bandar itu telah berikrar untuk membelanjakan sebanyak US$14 juta bagi memberi subsidi kepada syarikat yang membangunkan "chiplet” di rantau ini, dan ia telah membentuk Institut Teknologi Saling Sambung Wuxi bagi menumpukan usaha penyelidikan ke atas "chiplet”.

Pengerusi DPPPM-WC, Dr Mazlan Goh Ahmad Goh pula berkata, dewan itu ditubuhkan pada Oktober 2023 selepas beliau dilantik sebagai duta pertukaran persahabatan antara Wuxi dan Malaysia oleh Kerajaan Rakyat Perbandaran Wuxi pada Jun 2023.

Mazlan akan memberi tumpuan kepada menghubungkan dewan dengan kontrak utama dalam kerajaan Malaysia.

Sementara itu, Jun, memanfaatkan pengalamannya dalam bidang perniagaan, akan menjadi penghubung utama antara dewan dan pelbagai peringkat dalam kerajaan China untuk mewujudkan rangkaian serta hubungan yang erat dengan kerajaan.

Dewan itu kini mempunyai lebih 40 ahli serta behubung baik dengan pemimpin dwi-teras dari Malaysia dan Wuxi, China. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!