Projek ECRL: Amirudin digesa tangguh pemindahan kubur di Klang

Dr Halimah
Dr Halimah
A
A
A

KLANG - Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari digesa campur tangan dan menangguhkan serta-merta berhubung isu pemindahan Tanah Perkuburan Islam Selat Klang bagi memberi laluan kepada projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Ahli Parlimen Kapar, Dr Halimah Ali berkata, Amirudin diharap dapat mengarahkan semua pihak menangguhkan kerja dan duduk bersama di meja rundingan kerana nasib dan kebajikan rakyat seharusnya diutamakan.

Menurut beliau, perkara itu memerlukan rundingan secara sivil dengan mengambil kira pandangan semua pihak terutama waris dan mencapai satu keputusan boleh diterima semua dengan hati lapang dan tenang.

"Semalam (Isnin), saya telah ditemui oleh waris yang terkesan berikutan isu ini.

"Difahamkan daripada pihak waris dan penjelasan yang saya terima daripada Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) bahawa kerja-kerja peralihan ini akan dilaksanakan mulai esok (Rabu)," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Sehubungan itu, tegas beliau, bagi mewujudkan keharmonian dan mengelakkan sebarang ketegangan, semua pihak perlu duduk kembali di meja perundingan dan kerja-kerja peralihan yang mahu dimulakan wajarlah ditangguhkan terlebih dahulu.

"Saya menyedari projek ECRL ini cukup baik dan berguna kepada rakyat dan negeri, malah saya secara peribadi menyokongnya.

"Namun, mengambil kira kepentingan dan kebajikan rakyat terjejas akibat perlaksanaan projek ini, perundingan secara holistik sewajarnya diadakan agar semua pihak termasuklah rakyat negeri Selangor yang terjejas akan berpuas-hati," tambah beliau.

Artikel Berkaitan:

Memorandum bantahan mengenai pemindahan Tanah Perkuburan Islam Selat Klang bagi memberi laluan kepada projek ECRL.
Memorandum bantahan mengenai pemindahan Tanah Perkuburan Islam Selat Klang bagi memberi laluan kepada projek ECRL.

Halimah menjelaskan, bagi umat Islam proses peralihan tanah perkuburan ini adalah isu yang sangat sensitif dan boleh mencetuskan ketegangan jika tidak ditangani secara matang dan bijaksana.

"Saya sedar ia diharuskan mengikut syarak kerana menjaga kepentingan umum, bagaimanapun biarlah projek kepentingan umum ini diteliti sebaik mungkin dengan keputusan peralihannya menjadi keutamaan terakhir jika sudah benar-benar buntu dan tiada alternatif.

"Semua waris juga perlulah diberitahu dan diberi penerangan sewajarnya sebelum kubur keluarga mereka dialih dan ini perikemanusiaan asas yang sewajibnya dipraktik pihak kerajaan," ujar beliau.

Sehubungan itu, katanya, sebagai wakil rakyat di kawasan itu, beliau bersedia menjadi 'orang tengah' untuk membantu menyelesaikan isu terbabit.

"Saya mengharapkan Menteri Besar Selangor memberi perhatian dan keutamaan pada kes sensitif ini dan berani membuat keputusan menangguhkan perlaksanaannya demi mendengar suara rakyat.

"Saya akan mengutus surat ke Menteri Besar Selangor, Datuk Orang Kaya Maha Bijaya Klang serta Setiausaha Sulit Sultan Selangor dengan menyertakan kenyataan media supaya suara rakyat segera didengar dan mendapat perhatian sewajarnya," kata Halimah.

Sebelum ini, penduduk menyuarakan bantahan menerusi memorandum tiga muka surat berikutan pemindahan 90 tapak Tanah Perkuburan Islam Selat Klang bagi memberi laluan kepada projek ECRL.

Menerusi memorandum itu, penduduk mengemukakan tuntutan antara lain meminta pihak terlibat menyediakan garis panduan pemindahan kubur di negeri ini.

Antara tuntutan itu termasuklah surat permohonan pemindahan kubur dari pihak ECRL kepada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Tuntutan lain, seperti mendapatkan makluman rasmi daripada Jabatan Mufti Negeri Selangor kepada JAIS menyatakan kebenaran berkaitan surat kebenaran JAIS meliputi perkara-perkara yang diwartakan di dalam garis panduan tersebut.

Tuntutan itu turut menyatakan, sekurang-kurangnya seorang waris dibenarkan melihat sepanjang proses pemindahan dilakukan selain kerajaan negeri perlu menanggung kos kepuk dan batu nisan serta segala kerosakan lain.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!