ECRL Sungai Chinchin: Penduduk akan fail injunksi di mahkamah

Antara penduduk yang hadir pada sidang akhbar 'Selamatkan tanah warisan Melayu Islam Gombak Utara daripada jajaran ECRL KL - Node Highway di Gombak pada Jumaat. (Gambar kecil: Mohd Zai)
Antara penduduk yang hadir pada sidang akhbar 'Selamatkan tanah warisan Melayu Islam Gombak Utara daripada jajaran ECRL KL - Node Highway di Gombak pada Jumaat. (Gambar kecil: Mohd Zai)
A
A
A

GOMBAK - Penduduk 13 buah kampung dan penempatan di Gombak Utara bakal memfailkan injunksi mahkamah bagi menghalang pembinaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) Sungai Chinchin.

Pengerusi Gerakan Pembela Ummah, Mohd Zai Mustafa berkata, pihaknya akan mendapatkan seramai mungkin tanda tangan penduduk, wakil penduduk serta badan bukan kerajaan (NGO), pakar sejarah dan ahli akademik bagi menyokong injunksi mahkamah berkenaan.

Menurutnya, penduduk di situ sepakat tidak mahu laluan ECRL berkenaan melalui kawasan Gombak Utara kerana kawasan berkenaan sudah padat dengan penduduk dan tidak boleh dipindahkan sewenang-wenangnya.

"Apa yang menjadi persoalan ialah selain terdapat tanah rizab Orang Asli, kawasan ini juga mempunyai tanah wakaf seluas 13 ekar (5.2 hektar) yang sudah dijadikan penempatan selama 134 tahun.

"Tanah wakaf ini telah mendapat kelulusan pengecualian cukai yang dibuat oleh Sultan Selangor pada ketika itu dan bagi kami ini satu pengiktirafan dan isu tanah wakaf ini hanya boleh dicabar di mahkamah syariah dan isu ini juga kita akan bawa dalam injunksi," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar 'Selamatkan tanah warisan Melayu Islam Gombak Utara daripada jajaran ECRL KL - Node Highway di sini pada Jumaat.

"Setakat ini sebanyak 151 buah rumah termasuk 30 buah rumah Orang Asli telah dirobohkan dengan ratusan lagi rumah menanti untuk dirobohkan.

"Apa yang kami tahu setakat ini, yang tiada geran akan dapat hadiah saguhati manakala yang ada geran akan dapat pampasan tapi ramai pemilik tak setuju," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Tegasnya, perkara ini bukan isu politik tetapi mana-mana kerajaan terlibat dalam projek ini mesti ambil tindakan jelas bahawa mereka mesti membuat satu laluan yang sesuai tanpa melibatkan penempatan penduduk.

Saya rasa perlu ada jawatankuasa khas untuk menilai semua ini sebelum sesuatu jajaran diambil, bukan lihat dari sudut ekonomi semata-mata sebab ia telah melibatkan tanah dan rizab Melayu yang banyak.

"Ini bukan sebab kerajaan (ABC) tapi mana-mana kerajaan mentadbir mesti dengan jelas pertahan hak istimewa penduduk di sini," katanya.

Mohd Zai berkata, banyak lagi institusi seperti sekolah, masjid, hospital serta berkaitan dengan komuniti masyarakat akan terjejas sekiranya projek berkenaan dilaksanakan.

Sebelum ini media melaporkan beberapa struktur rumah termasuk bengkel serta tabika Kemas atas tapak berkenaan telah dirobohkan bagi memberi laluan kepada projek tersebut.

Susulan itu penduduk di 13 kawasan Gombak Utara terdiri daripada Desa Mukmin Warisan, Desa Mukmin Permai, Batu 7 Gombak, Sungai Chinchin, Taman Rawiyah Sulaiman Jaya, Batu 8 Gombak Utara, Taman Permai Jaya, Sungai Salak, Desa Makmur, Batu 11 Gombak, Batu 12 Gombak, Kampung Sungai Rumput dan Kem Alang Sedayu melahirkan kebimbangan mengenai Projek ECRL dan membantah pelaksanaannya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28