Warga emas sujud syukur terlepas hukuman gantung

Zulkefli (tengah) dikawal polis keluar dari lokap menuju bilik mahkamah.
Zulkefli (tengah) dikawal polis keluar dari lokap menuju bilik mahkamah.
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang buruh melakukan sujud syukur di kandang salah selepas Mahkamah Tinggi, di sini, pada Khamis melepas dan membebaskannya daripada pertuduhan mengedar 300.9 kilogram (kg) dadah jenis metamphetamine, lima tahun lalu.

Hakim, Datuk Mohamad Abazafree Mohd Abbas membuat keputusan itu pada akhir kes pembelaan terhadap Zulkefli Mohd Yatim, 61.

Zulkefli (dua dari kanan) dibawa menaiki lif di Mahkamah Kota Bharu pada Khamis.
Zulkefli (dua dari kanan) dibawa menaiki lif di Mahkamah Kota Bharu pada Khamis.

Mohamad Abazafree dalam alasan penghakimannya berkata, peguam bela berjaya menimbulkan satu keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Menurut beliau, terdapat beberapa keterangan penting daripada tertuduh yang tidak disoal balas oleh pendakwa menyebabkan mahkamah mengambil pertimbangan terhadap keterangan tersebut.

“Pertama, berkaitan tertuduh tidak berada di dalam van (tempat dadah ditemukan) semasa pemeriksaan polis, isu sarung tangan yang dipakaikan kepada tertuduh dan keberadaan tertuduh di tempat kejadian untuk minum bersama rakannya bernama Rosli.

“Tiada apa-apa yang dikemukakan oleh pihak pendakwa raya bagi mengaitkan van itu dengan tertuduh dan oleh itu tertuduh dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan,” kata beliau.

Mengikut pertuduhan, Zulkefli didakwa mengedar dadah berbahaya methamphetamine seberat 300.9 kg di tepi jalan Dusun Raja, Off Jalan Kebun Sultan, di sini pada jam 10.50 malam, 21 Mac 2019.

Artikel Berkaitan:

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39(2) Akta yang sama

Seksyen 39B (2) akta tersebut memperuntukkan hukuman jika tidak dijatuhi hukuman mati hendaklah dipenjara seumur hidup dan disebat minimum 15 kali, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Aida Fatimah Abd Jabar manakala kesemua tertuduh diwakili peguam, Ahmad Nurie Ab Rahman dan Hajar Sahiras Zukefli.