Dua Orang Asli ditahan proses air ketum, miliki 2,600 pil kuda

Muhamad Zaki (tiga dari kiri) menunjukkan daun ketum yang dirampas di Jeli.
Muhamad Zaki (tiga dari kiri) menunjukkan daun ketum yang dirampas di Jeli.
A
A
A

KOTA BHARU - Dua lelaki Orang Asli suku Jahai ditahan polis kerana dipercayai menjalankan kegiatan memproses air ketum dan memiliki 2,600 pil kuda di sebuah pondok dalam kawasan kebun Lubok Kasar Sungai Long, Batu Melintang, Jeli.

Kedua-dua suspek yang berusia 22 dan 23 tahun ditahan dalam serbuan jam 10 pagi, Jumaat lalu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, serbuan dilakukan oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Jeli dan anggota Balai Polis Jeli hasil maklumat dan risikan.

Muhamad Zaki (dua dari kiri) menunjukkan daun ketum dan pil kuda yang dirampas.
Muhamad Zaki (dua dari kiri) menunjukkan daun ketum dan pil kuda yang dirampas.

“Pihak polis menjalankan pemeriksaan di dalam pondok terbabit dan menjumpai sejumlah 29 liter cecair ketum, 25 kilogram (kg) daun ketum dan 2,600 atau 267 gram (g) pil kuda dianggarkan bernilai RM40,874.

“Polis turut menemukan dua periuk yang dipercayai digunakan untuk memproses daun ketum kepada cecair dan satu tong ais,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di sini pada Isnin.

Muhamad Zaki (dua dari kiri) melihat daun ketum yang belum diproses.
Muhamad Zaki (dua dari kiri) melihat daun ketum yang belum diproses.

Menurut beliau, kedua-dua suspek direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

Artikel Berkaitan:

“Siasatan masih dijalankan dan polis tidak menolak kemungkinan air ketum tersebut dijual kepada penduduk tempatan atau pekerja di kawasan kebun berkenaan,” ujar beliau.

Dalam pada itu, pihaknya merampas pelbagai jenis dadah dan sitaan harta bernilai lebih RM1 juta dalam Operasi Tapis Bersepadu di seluruh negeri Kelantan bermula 17 hingga 28 April lalu.

Air ketum yang diproses oleh suspek Orang Asli.
Air ketum yang diproses oleh suspek Orang Asli.

Menurut beliau, seramai 1,036 individu ditahan atas pelbagai kesalahan mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952, Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas) dan Akta Racun 1952.

“Tangkapan berusia 15 hingga 65 tahun terdiri daripada 968 warga tempatan, 68 warga asing dan dua penjawat awam serta seorang penuntut institusi pengajian tinggi awam.

“Dadah dirampas antaranya lebih 3kg termasuk heroin (43g) dan ganja (82g),” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!