Lelaki Orang Asli ditemukan rentung dalam kereta

Mayat lelaki Orang Asli ditemukan rentung dalam sebuah kereta yang terbakar di Jalan Pahang, Tapah pada Isnin. Foto ihsan Bomba Perak
Mayat lelaki Orang Asli ditemukan rentung dalam sebuah kereta yang terbakar di Jalan Pahang, Tapah pada Isnin. Foto ihsan Bomba Perak
A
A
A

TAPAH - Seorang lelaki Orang Asli ditemukan rentung dalam kebakaran sebuah kereta di Batu 23, Jalan Pahang di sini pada Isnin.

Mangsa dikenali sebagai Bading Bah Yek berusia 59 tahun ditemukan di tempat duduk belakang kereta jenis Proton Saga.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sayani Saidon berkata, sepasukan anggota diatur gerak ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan pada jam10.04 malam.

"Setibanya di lokasi kejadian, kebakaran kereta itu telah pun dipadamkan oleh orang awam.

"Terdapat seorang lelaki Orang Asli berada di tempat duduk belakang dan mangsa ditemukan dalam keadaan rentung," katanya pada Selasa.

Menurut beliau, kebakaran itu memusnahkan 50 peratus kenderaan terbabit.

"Penilaian risiko segera dilakukan sebelum membantu pihak polis untuk mengeluarkan mayat mangsa.

"Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. Operasi tamat pada jam 11.36 malam," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tapah, Superintenden Mohd Naim Asnawi berkata, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Tapah.

Kata beliau, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut sehingga mendapat laporan bedah siasat bagi mengetahui punca kematian mangsa.