Kerajaan kaji pinda akta berkait antun seksual kanak-kanak

Dua dari kiri: M Kulasegaran, Azalina dan Farah Nini ketika sidang akhbar Simposium Antarabangsa Mengenai Pemerkasaan Kanak-Kanak Komisen: Memperkukuh Hak Dan Melindungi Masa Hadapan di Kuala Lumpur pada Isnin.
Dua dari kiri: M Kulasegaran, Azalina dan Farah Nini ketika sidang akhbar Simposium Antarabangsa Mengenai Pemerkasaan Kanak-Kanak Komisen: Memperkukuh Hak Dan Melindungi Masa Hadapan di Kuala Lumpur pada Isnin.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan mengkaji pindaan Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 [Akta 792] bagi menangani peningkatan kes antun seksual kanak-kanak terutama di laman lucah yang dilakukan secara terbuka.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, ia bagi memastikan sistem perundangan negara setaraf dengan kecanggihan teknologi kini seperti kecerdasan buatan (AI).

Antara yang hadir pada Simposium Antarabangsa Mengenai Pemerkasaan Kanak-Kanak Komisen: Memperkukuh Hak Dan Melindungi Masa Hadapan.
Antara yang hadir pada Simposium Antarabangsa Mengenai Pemerkasaan Kanak-Kanak Komisen: Memperkukuh Hak Dan Melindungi Masa Hadapan.

"Undang-undang sedia ada dilihat tidak mampu mengendalikan sebarang kes atau isu berpunca daripada AI. Kita seharusnya mempunyai sistem yang lebih terbuka dan proaktif.

"Salah satu cabaran utama adalah apabila kes antun seksual terhadap kanak-kanak menerusi 'dark web' yang makin meningkat dan ada juga dilakukan secara terbuka di internet," katanya ketika sidang akhbar di Simposium Antarabangsa Mengenai Pemerkasaan Kanak-Kanak Komisen: Memperkukuh Hak Dan Melindungi Masa Hadapan pada Isnin.

Majlis tersebut berlangsung selama dua hari di Auditorium Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC), Bangunan Sulaiman yang dihadiri wakil daripada 10 negara seperti Australia, Greece, Ireland, Japan, Jamaica, Maldives, Philippines, Scotland, Sweden serta Thailand.

Tetamu kehormat yang hadir ke Simposium Antarabangsa Mengenai Pemerkasaan Kanak-Kanak Komisen: Memperkukuh Hak Dan Melindungi Masa Hadapan.
Tetamu kehormat yang hadir ke Simposium Antarabangsa Mengenai Pemerkasaan Kanak-Kanak Komisen: Memperkukuh Hak Dan Melindungi Masa Hadapan.

Hadir sama Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), M Kulasegaran; Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh; Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad dan tetamu kehormat lain.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu Azalina berkata, penglibatan individu terlibat dalam melakukan jenayah tersebut sukar untuk dikesan kerana kaedah pembayaran (langganan) yang berubah-ubah.

Ujarnya, jika sebelum ini mereka menggunakan 'dark web' sahaja tetapi kini sudah mula menjadikan sistem 'bitcoin' untuk meneruskan kegiatan tersebut.

"Apabila mereka menggunakan kaedah itu, semakin sukar untuk pihak berkuasa membuat siasatan bagi mengenal pasti siapa dalang di sebalik kes antun seksual terhadap kanak-kanak di negara ini.

"Jadi, di simposium hari ini kita akan belajar daripada pengalaman masing-masing, berkongsi langkah terbaik dan meneroka pendekatan inovatif untuk memperkasakan perlindungan kanak-kanak di peringkat global," katanya.

Sementara itu Azalina berkata, kerajaan juga akan mengkaji keperluan untuk mewujudkan OCC di peringkat negeri.

Menurut beliau, undang-undang terhadap kanak-kanak tidak hanya difokuskan dalam kerajaan pusat tetapi juga memerlukan pemantauan di peringkat bawah.

"Bagaimanapun, kita tidak akan bergerak agresif tetapi secara perlahan-perlahan," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!