IDE ramal PH kekal kemenangan DUN Kuala Kubu Baharu

Mohammad Redzuan
Mohammad Redzuan
A
A
A

KUALA SELANGOR - Pakatan Harapan (PH) diyakini mampu mengekalkan kemenangan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu, 11 Mei ini.

Pengerusi Eksekutif Institut Darul Ehsan (IDE), Profesor Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman berkata, kemenangan itu berdasarkan daripada kajian yang telah dijalankan.

"Kita ada kajian dan akan buat pembentangan, tetapi tidak pasti bila (tarikh) untuk kita membuat sidang akhbar," katanya ketika ditemui pada Isnin.

Mohammad Redzuan memberitahu, peluang PH untuk memenangi kerusi DUN itu cukup ketara berdasarkan sokongan pengundi di kawasan terbabit.

Bagaimanapun, katanya, calon dan jentera PH perlu bekerja keras bagi mengekalkan momentum sedia ada bagi menarik sokongan pengundi.

Ditanya adakah isu kaum mempengaruhi sokongan pengundi, Mohammad Redzuan berkata, dalam konteks Malaysia pada masa ini, rakyat semakin matang untuk membuat penilaian.

"Masyarakat menyedari bahawa isu perkauman ini sekadar menghangatkan lagi pilihan raya dan jelas mereka mengetahui negara ini berbilang kaum.

"Apa yang penting bagaimana pengundi perlu maju ke hadapan dengan kepimpinan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari diterima seluruh masyarakat dan yakin ini akan membantu memenangkan calon PH di DUN Kuala Kubu Baharu," katanya.

Artikel Berkaitan:

PRK DUN Kuala Kubu Baharu menyaksikan pertembungan empat penjuru antara calon Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN), Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan calon Bebas.

PH mempertaruhkan Setiausaha Akhbar kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Pang Sock Tao mewakili PH, dicabar pemangku Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Hulu Selangor, Khairul Azhari Saut mewakili PN.

Sementara PRM diwakili Hafizah Zainuddin dan Nyau Ke Xin bertanding atas tiket Bebas.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!