PRK Kuala Kubu Baharu: Selangor teliti selesai isu kaum India

Borhan
Borhan
A
A
A

KUALA SELANGOR - Kerajaan Selangor sedang meneliti beberapa isu dan permasalahan kaum India di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu untuk tindakan lanjut.

Exco Perumahan dan Kebudayaan Selangor, Borhan Aman Shah berkata, isu dibangkitkan kaum itu telah wujud sekian lama antaranya termasuklah soal ekonomi, kawasan perumahan dan hak pemilikan tanah.

"Kita telah membetulkan semula keadaan kerana ini adalah isu-isu lampau yang puluhan tahun sebelum PH (Pakatan Harapan) ambil alih kerajaan (negeri) ini," katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Selasa.

Menurutnya, sokongan kaum India terhadap calon PH pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Kuala Kubu Baharu juga semakin baik dan menolak dakwaan kononnya terdapat 'boikot' daripada pengundi kaum itu.

Malah, katanya, PH turut memperoleh kemenangan moral apabila Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran sendiri menyatakan sokongan kepada Kerajaan Perpaduan.

"Ini sudah tentu memberi impak positif khususnya bagi menarik sokongan pengundi India," jelasnya.

Mengulas mengenai persiapan jentera PH menghadapi pilihan raya itu, Borhan yang juga Timbalan Pengerusi, Majlis Pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Negeri Selangor menjelaskan, semua jentera berada pada tahap kesiapsiagaan maksimum.

Tambahnya, PH dan Barisan Nasional (BN) turut menggerakkan seluruh jentera seluruh negara di setiap pusat daerah mengundi (PDM) di DUN berkenaan.

Artikel Berkaitan:

"DUN ini menjadi kubu kuat DAP kerana mendiang, Lee Kee Hiong telah melaksanakan tugas dengan begitu baik.

"Mendiang yang telah berkhidmat sejak 2013 lagi disenangi bukan sahaja kaum Cina, tetapi Melayu dan India," tambahnya.

Sebelum ini, terdapat pihak tertentu menggesa agar masyarakat India memboikot PRK DUN Kuala Kubu Baharu pada 11 Mei depan.

DUN Kuala Kubu Baharu kosong berikutan kematian penyandangnya Kee Hiong pada 21 Mac lalu.

PRK DUN Kuala Kubu Baharu menyaksikan pertembungan empat penjuru antara calon PH, Perikatan Nasional (PN), Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan calon Bebas.

PH mempertaruhkan Setiausaha Akhbar kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Pang Sock Tao yang mewakili PH, dicabar pemangku Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Hulu Selangor, Khairul Azhari Saut mewakili PN mnakala PRM diwakili Hafizah Zainuddin dan Nyau Ke Xin bertanding atas tiket Bebas.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!