Bawa ke mahkamah jika tiada penyelesaian menang-menang

Chean Chung (depan, tiga dari kiri) dan Sim Chon Siang (depan, dua dari kiri) bersama wakil 19 pertubuhan dan persatuan perniagaan yang tidak berpuas hati dengan kenaikan baharu cukai tanah digazetkan kerajaan Pahang, awal Januari lalu.
Chean Chung (depan, tiga dari kiri) dan Sim Chon Siang (depan, dua dari kiri) bersama wakil 19 pertubuhan dan persatuan perniagaan yang tidak berpuas hati dengan kenaikan baharu cukai tanah digazetkan kerajaan Pahang, awal Januari lalu.
A
A
A

KUANTAN - Sebanyak 19 pertubuhan dan persatuan perniagaan di Pahang tidak menolak untuk memfailkan semakan kehakiman sebagai jalan terakhir jika isu kenaikan kadar baharu cukai tanah gagal mencapai penyelesaian menang-menang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semambu, Lee Chean Chung berkata, itu langkah terpaksa diambil bagi memastikan kenaikan cukai tanah yang dikenakan kepada pemilik tanah munasabah dan tidak terlalu tinggi.

Menurutnya, pihaknya memberi tempoh tiga minggu kepada kerajaan Pahang dan agensi berkaitan bagi menilai semula caj baharu cukai tanah yang sudah berkuat kuasa awal Januari lalu.

"Kita semua (19 pertubuhan dan persatuan perniagaan) beri tempoh tiga minggu untuk rundingan dan perbincangan dengan pihak kerajaan termasuk pihak berkuat kuasa tempatan, Majlis Perbandaran Kuantan dan Pejabat Tanah dan Galian bagi menyelesaikan isu ini.

"Kalau masih tiada perubahan atau keputusan yang baik, kita akan ambil tindakan undang-undang. Ini jalan terakhir kita ambil memandangkan caj baharu yang dikenakan tinggi dan tidak masuk akal," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media mengenai kenaikan kadar cukai tanah Pahang selepas penubuhan jawatankuasa bertindak bagi isu terbabit Ahad lalu yang turut dihadir ADUN Teruntum, Sim Chon Siang di Dewan Perniagaan dan Perindustrian China Kuantan hari ini.

Antara pertubuhan dan persatuan di bawah Jawatankuasa Bertindak Kenaikan Harga Cukai Tanah ialah Federation of Malaysian Manufacturers (FFM) Eastern Branch, Dewan Perniagaan dan Perindustrian China Kuantan, Koperasi Bina Usahawan, Persatuan Perdagangan dan Pelaburan Guangxi Pahang, Persatuan I-Usaha Pahang, Persatuan Komuniti Parlimen Paya Besar, Persatuan Pengusaha Lori, Pertubuhan Kebajikan Kaum Hindu Kuantan, Pertubuhan Komuniti Semambu dan Malaysia Budget Hotel Malaysia.

Pada 11 Januari lalu, Sinar Harian menyiarkan ketidakpuasan hati peniaga di Pahang berhubung rungutan mereka terhadap peningkatan cukai tanah di Pahang.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Cukai tanah di Kuantan didakwa naik sehingga 200 kali ganda

Aduan itu dibuat menerusi Pusat Khidmat Komuniti Dewan Undangan Negeri (DUN) Semambu antaranya melibatkan tanah perindustrian kosong di Pulau Manis yang dikenakan cukai tanah sebanyak RM80,305 berbanding RM4,220 tahun lalu.

Chean Chung berkata, kenaikan itu secara tidak langsung menjejaskan persekitaran perniagaan, melemahkan harga tanah dan menaikkan kos pengeluaran.

"Ia akan mengakibatkan inflasi dan lonjakan harga barang di Pahang, sekali gus merencatkan pertumbuhan ekonomi Kuantan dan Pahang serta melemahkan usaha kerajaan negeri menarik pelaburan asing.

"Jadi, kita harap menteri besar dapat memperbetulkan keadaan sebelum impak negatif dirasai. Kita juga menggesa tindakan tepat diambil dengan segera sebelum faktor ketidaktentuan dan keyakinan rakyat terhadap kerajaan negeri terhakis," katanya.