Cukai tanah di Kuantan didakwa naik sehingga 200 kali ganda

Chean Chung (tengah) bersama pengadu yang berdepan isu kenaikan cukai.
Chean Chung (tengah) bersama pengadu yang berdepan isu kenaikan cukai.
A
A
A

KUANTAN - Pusat Khidmat Komuniti Dewan Undangan Negeri (DUN) Semambu menerima 10 aduan membabitkan peningkatan cukai tanah di Pahang.

Aduan diterima turut melibatkan tanah perindustrian kosong di Pulau Manis yang dikenakan cukai tanah sebanyak RM80,305 berbanding dengan RM4,220 tahun lalu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semambu, Lee Chean Chung berkata, peningkatan cukai tanah yang keterlaluan itu menjejaskan persekitaran perniagaan di negeri ini seterusnya menyebabkan harga sewa dan harga barang naik.

"Aduan diterima melibatkan kenaikan kadar cukai mendadak untuk tanah pertanian tanaman kelapa sawit.

"Peningkatan puluhan ribu itu membabitkan pengadu bernama Wong yang mendakwa bahawa tanahnya yang seluas 7 hektar di Lepar dikenakan cukai tanah sebanyak RM75,160 berbanding tahun lepas hanya RM355," katanya.

Menurutnya, tanah yang seluas 28 ekar di Gambang dikenakan caj cukai tanah sebanyak RM110,5820 manakala satu lagi tanah seluas 1.2 hektar meningkat daripada RM39 menjadi RM3,900.

"Bagi mendapatkan maklumat lanjut berkenaan kenaikan cukai berkenaan, satu sesi Perbincangan Persekitaran Perniagaan Pahang dan Kenaikan Harga Lesen & Cukai Tanah diadakan esok.

"Perjumpaan diadakan di Mana Mana Cafe, Jalan Teluk Sisek jam 10 pagi itu dianjurkan Pusat Khidmat DUN Semambu dan Pusat Khidmat DUN Teruntum," katanya.

Artikel Berkaitan:

Chean Chung berkata, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuantan dan Pegawai Daerah Pejabat Tanah untuk hadir bagi mendengar rintihan suara peniaga dan rakyat.

"Sesi perbincangan tidak bermotif politik sebaliknya menjadi platform untuk mengumpul pandangan dan suara rakyat daripada pelbagai lapisan masyarakat dan membincangkan satu resolusi bagi permasalahan ini

"Kita akan mendapatkan maklumat dan melihat apa yang berlaku secara keseluruhan. Pemilik atau pengusaha yang menghadapi masalah boleh datang dan membawa dokumen-dokumen yang berkaitan," katanya.