Bangkit tangani kepincangan ummah

Bermula Syawal ini, ayuh sama-sama kita realisasikan agenda jadi umat terbaik

UNTUK menjadi umat terbaik, ia memerlukan kesungguhan dan iltizam yang tinggi untuk merealisasikannya. -Foto: 123rf
UNTUK menjadi umat terbaik, ia memerlukan kesungguhan dan iltizam yang tinggi untuk merealisasikannya. -Foto: 123rf
A
A
A

MENCIPTA gaya berhibur yang jelas tidak menghormati Aidilfitri, stail tarian melampaui batas-batas agama dan isu kecurangan pasangan suami isteri.

Itu antara kepincangan menyedihkan yang berlaku kepada segelintir umat Islam sejak akhir-akhir ini.

Jika diteliti, semua itu menggambarkan tahap penghayatan dan pengamalan Islam seolah-olah menjadi semakin lemah, pudar dan luntur dalam diri kita.

Situasi itu benar-benar mengundang natijah buruk kerana dikhuatiri semua perkara maksiat tadi dianggap sebagai normal dan diterima oleh masyarakat.

Hakikatnya, ia sebenarnya mencerminkan keadaan iman kita yang kian luput dan hilang.

Menerusi teks khutbah Jumaat yang disediakan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), mimbar memberi penekanan bahawa peri pentingnya kita mempraktikkan kebaikan, keadilan, kasih sayang dan menjauhi segala bentuk kejahatan dan kerosakan tersebut.

SAMA-SAMALAH kita jadikan madrasah Ramadan tempoh hari untuk memperbaiki diri, sekali gus menjadi umat terbaik bermula bulan Syawal ini. -Foto: Canva
SAMA-SAMALAH kita jadikan madrasah Ramadan tempoh hari untuk memperbaiki diri, sekali gus menjadi umat terbaik bermula bulan Syawal ini. -Foto: Canva

Artikel Berkaitan:

Ia bukan sekadar omongan kosong semata-mata. Sejarah membuktikan zaman Rasulullah SAW dan para sahabat merupakan era terbaik bagi umat Islam.

“Masakan tidak, zaman model khaira ummah (ummah terbaik) dibina dengan panduan wahyu Ilahi dan ditunjangi akidah, syariat, adab dan akhlak yang kukuh.

“Kita menyaksikan, Rasulullah SAW, para sahabat dan salafussoleh membawa Islam ketika itu bergalang ganti dengan nyawa, darah, tenaga dan harta yang tidak ternilai harganya,” katanya sebagaimana dipetik menerusi teks khutbah bertajuk ‘Syawal Merealisasi Umat Terbaik’ yang disiarkan menerusi laman web rasmi Jawi minggu lalu.

Bagi mengatasi kepincangan perilaku ummah yang membarah dalam masyarakat, Jawi mengajak umat Islam supaya bangkit melakukan penambahbaikan dengan penuh kesedaran dan membuka mata hati seluas-luasnya.

“Kita hendaklah sedaya upaya membawa gagasan islah seperti yang dilakukan oleh Nabi Syuaib AS bagi membentuk umat terbaik, cemerlang dunia dan akhirat serta dapat mewariskannya kepada generasi akan datang, sebagaimana dirakamkan dalam ayat 88, Surah Hud,” katanya.

Rahsia jadi umat terbaik

Benar, tidak mudah menjadi umat terbaik. Ia bukan kerja sehari dua, bahkan memakan puluhan, ratusan mahupun ribuan tahun lamanya.

Jawi menjelaskan, ia memerlukan kesungguhan dan iltizam yang tinggi dengan melaksanakan tiga perkara sebagaimana digariskan:

i. Amar makruf - Menyeru manusia melakukan kebaikan.

Hanya dengan ilmu, ia menjadi senjata terbaik untuk melawan kebodohan dan salah faham tentang agama.

Berbekalkan pengetahuan itu juga umat Islam dapat menghindari diri daripada penyebaran ajaran yang salah dan sentiasa memperjuangkan kebenaran serta melaksanakan perkara makruf.

ii. Nahi mungkar - Menyekat manusia daripada membuat keburukan.

Sudah pasti orang berilmu akan menolak setiap perkara yang bersifat tidak baik.

Walaupun zaman sekarang banyak maklumat di hujung jari, namun ia tidak memberi makna andai kita tidak menyulamnya dengan ilmu yang memberi kefahaman kepada tingkah laku.

Andai tidak dicegah daripada berbuat kemungkaran, cepat atau lambat, kita pasti akan mengalami kesannya kelak.

FAHAMI dan hayati ajaran dibawa oleh Islam agar kita tidak mudah terpengaruh dengan budaya tidak baik dan kepincangan yang berlaku. -Foto: Canva
FAHAMI dan hayati ajaran dibawa oleh Islam agar kita tidak mudah terpengaruh dengan budaya tidak baik dan kepincangan yang berlaku. -Foto: Canva

iii. Beriman kepada ALLAH SWT.

Semakin mantap iman seseorang, maka semakin hebat dan kuat seseorang dalam beramal soleh.

Mereka itulah yang tergolong sebagai fastabiqul khairat iaitu suka berlumba-lumba dalam melakukan kebaikan.

Gabungan ilmu dunia dan akhirat akan melahirkan iman serta amal soleh yang mantap. Akhirnya terbentuklah umat yang terbaik sebagaimana dikehendaki oleh ALLAH SWT.

Pasak niat dalam hati

Tiada gunanya andai kita mencanang segala macam panduan jika ia tidak diduplikasikan dalam kehidupan seharian.

Dalam teks khutbah sama, mimbar Jumaat menyeru umat Islam supaya merealisasikan agenda melaksanakan amar makruf dan nahi mungkar.

Usaha itu perlu bermula dengan diri kita sendiri dan ahli keluarga sehinggalah terbina sebuah masyarakat sejahtera.

Ia sebagaimana maksud ungkapan Arab iaitu ‘Perbaikilah dirimu dan serulah orang lain ke arah kebaikan’.

“Ajaklah kepada kebaikan dan larang kemungkaran dengan ilmu yang betul, bersopan santun, bijaksana dan berhikmah agar dapat lebih mendekatkan kepada tujuan pencegahan.

“Pada masa sama, hindarilah perlakuan suka mencemuh, mencerca, menghina dan merendah-rendahkan serta membuka atau menjaja aib orang lain,” pesannya.

Andai ingin membuat teguran terhadap orang lain, sebaiknya ikutilah pesanan Imam Asy-Syafie:

“Orang yang menasihati saudaranya dengan cara tertutup, maka orang itu telah benar-benar menasihatinya dan berbuat baik kepadanya. Akan tetapi, orang yang menasihatinya secara terbuka, maka sesungguhnya ia telah menghina dan merendahkannya.”

Dalam pada itu, mimbar turut mengajak umat bersama-sama pasakkan niat dalam hati untuk merealisasikan ciri-ciri umat terbaik bermula dalam diri.

Amalkan tiga perkara yang dikongsikan untuk merealisasikan agenda itu bersama bermula pada bulan Syawal ini.

*Teks khutbah disediakan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan dan diterbitkan melalui laman web rasmi jabatan berkenaan