Manisnya azam bila diiringi iman

AZAM atau matlamat yang ditetapkan hendaklah jelas dan bukannya terawang-awang hingga terlalu sukar dilaksanakan.
AZAM atau matlamat yang ditetapkan hendaklah jelas dan bukannya terawang-awang hingga terlalu sukar dilaksanakan.
A
A
A

KALIMAH ‘azam’ merupakan pecahan daripada niat dan lintasan hati.

Penolong Dekan Hal Ehwal Pelajar & Alumni, Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Madya Dr Zaizul Ab Rahman berkata, di sisi Islam; azam, niat atau lintasan hati merupakan paksi kepada kebanyakan ibadat seperti sembahyang, puasa, haji, zakat dan lain-lain lagi.

Beliau yang juga Kaunselor Berdaftar Kementerian Wanita, Keluarga dan Masyarakat, menjelaskan kepada Sinar Islam, persoalan tentang lintasan hati dikategorikan oleh ulama kepada lima bahagian sebagaimana berikut:

i. Hajiz - Lintasan yang timbul dalam hati (sama ada baik atau jahat dan kemudian berlalu pergi iaitu hanya timbul dan tidak melekat di dalam hati.

ii. Khatir - Lintasan yang timbul dalam hati (sama ada baik atau jahat) dan kekal agak lama di dalam hati tetapi tidak timbul sama ada mahu melakukannya atau tidak.

iii. Hadisun-Nafs - Lintasan yang timbul dalam hati (sama ada baik atau jahat) dan kekal lama tetapi tidak boleh menentukan sama ada lebih berat untuk mahu melakukan atau sebaliknya

iv. Ham - Lintasan yang timbul dalam hati (sama ada baik atau jahat) dan kekal lama dalam hati, lebih berat untuk melakukannya, tetapi tidak melakukannya. Tahap ini dan tiga tahap sebelum ini tidak dikira oleh ALLAH SWT kerana tidak termasuk dalam daya dan upaya manusia untuk menolaknya.

v. Azam – Lintasan yang timbul dalam hati (sama ada baik atau jahat) dan kekal lama dan membuat keputusan untuk melakukan dan dorongannya yang kuat dan inilah lintasan hati yang dikira oleh ALLAH kerana pada tahap ini manusia sudah mampu berfikir dan mampu untuk menerima atau menolaknya.

Artikel Berkaitan:

DR ZAIZUL
DR ZAIZUL

Jelas Dr Zaizul lagi, sebagai Muslim, penekanan dalam soal ibadat dan akhlak perlu diberi perhatian dalam menetapkan azam seperti memperbaiki solat, khatam al-Quran, bersolat jemaah di masjid, meninggalkan perkara maksiat dan kurang bercakap perkara sia-sia.

Capai dengan strategi

Azam atau matlamat yang ditetapkan hendaklah jelas dan bukannya terawang-awang hingga terlalu sukar dilaksanakan.

“Apabila ingin menetapkan sesuatu matlamat, jangan sesekali menyenaraikan terlalu banyak azam hingga hilang fokus, sekali gus tidak mampu untuk dilaksanakan.

“Mungkin dengan menetapkan beberapa azam saja, ia boleh dicapai dengan usaha dan strategi berkesan.

“Dalam azam yang ditetapkan itu, walaupun tidak mampu untuk mencapai semuanya, janganlah sampai meninggalkannya,” katanya.

Ujarnya, dua azam yang dicadangkan untuk kita berusaha bersungguh-sungguh tanpa berhenti walaupun masih belum berjaya ialah memperbaiki dan menambah baik ibadat.

NILAI iltizam yang patut dimiliki oleh umat Islam dalam membangunkan diri dan ummah. Agenda pembangunan ummah bermula dengan suruhan melaksanakan amar makruf dan nahi mungkar yang harus bermula daripada diri sendiri dan ahli keluarga sehinggalah terbina sebuah masyarakat.
NILAI iltizam yang patut dimiliki oleh umat Islam dalam membangunkan diri dan ummah. Agenda pembangunan ummah bermula dengan suruhan melaksanakan amar makruf dan nahi mungkar yang harus bermula daripada diri sendiri dan ahli keluarga sehinggalah terbina sebuah masyarakat.

Bagi menambah baik kualiti azam yang dipahatkan, Dr Zaizul mencadangkan umat Islam agar sentiasa menyematkan nilai “Muslim yang kuat lebih baik daripada Muslim yang lemah”.

Ia sebagaimana sepotong hadis yang bermaksud: “Orang Mukmin yang kuat (segalanya) itu, lebih baik dan lebih dikasihi ALLAH daripada Mukmin yang lemah sedang setiap (Mukmin) itu semuanya baik. Utamakanlah (berusahalah) terhadap perkara yang menjamin kemanfaatanmu dan sentiasa bermohon pertolongan ALLAH tanpa rasa lemah semangat.” (Hadis Riwayat Muslim dan Ibn Majah)

Dr Zaizul menghubungkan hadis tersebut dengan nilai iltizam yang patut dimiliki oleh umat Islam dalam membangunkan diri dan ummah.

Generasi sahabat

“Umat Islam harus berusaha mencontohi kegemilangan generasi terdahulu iaitu para sahabat dan tabi'in dalam usaha pembangunan ummah. Golongan tersebut diiktiraf sebagai umat terbaik kerana mempunyai azam yang tinggi dalam memperkukuhkan dakwah Islamiyyah ke pelosok dunia.”

ALLAH SWT merakamkan hal ini dalam al-Quran surah Ali Imran ayat 110 yang bermaksud: “Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada ALLAH (dengan sebenar-benar iman).”

Dr Zaizul menjelaskan, agenda pembangunan ummah bermula dengan suruhan melaksanakan amar makruf dan nahi mungkar yang harus bermula daripada diri sendiri dan ahli keluarga sehinggalah terbina sebuah masyarakat.

Dalam sebuah hadis daripada Abu Sa'id al-Khudri RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda maksudnya: "Sesiapa di antara kamu melihat sesuatu kejahatan, maka hendaklah ia mengubahnya dengan tangannya, sekiranya tidak sanggup hendaklah dengan lisannya, dan sekiranya tidak sanggup hendaklah dengan hatinya yang demikian itu (mengingkarkan dengan hati) adalah selemah-lemah iman." (Hadis Riwayat Muslim dan Ahmad)

Dengan cara tersebut, segala bentuk kebatilan dapat dibanteras manakala kefahaman Islam dapat dipertingkat.

Ummah yang terbaik juga mempunyai sifat kesamaan dalam diri walaupun berbeza bangsa, negara dan jantina di kalangan orang Islam sedunia yang disatukan atas keimanan yang sama iaitu keimanan kepada ALLAH dan Rasulullah SAW.