Jemput Prof Bruce Gilley: UM tampil mohon maaf

Universiti Malaya
Universiti Malaya
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Universiti Malaya (UM) memohon maaf kepada semua pihak berkaitan kontroversi menjemput profesor didakwa pro-Israel, Bruce Gilley sebagai speaker jemputan ke universiti itu.

Menerusi satu kenyataan, UM berkata, pihaknya telah mengambil tindakan serta-merta membatalkan sebarang program serta aktiviti melibatkan penceramah jemputan warga asing.

"Kami ambil maklum saranan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd Kadir. Kami kesal dengan kenyataan kontroversi serta tidak menghormati sentimen masyarakat seperti tular di laman media sosial.

"Laporan lengkap berhubung isu tersebut sedang disediakan dan tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang didapati turut terlibat dalam perkara ini," katanya pada Khamis.

Pada Rabu, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengarahkan UM membatalkan sebarang program dan aktiviti dijadual dihadiri penceramah warga asing yang mengeluarkan kenyataan mencetus kontroversi dan tidak menghormati sentimen masyarakat seperti tular di media sosial.

Zambry turut mengarahkan universiti berkenaan menyiasat perkara berkenaan dan melaporkan segera butiran lanjut.

Terdahulu, UM mendapat kecaman kerana membenarkan seorang ahli akademik Amerika Syarikat menyebarkan propaganda Zionis dan menuduh ahli politik Malaysia yang menyokong perjuangan Palestin menyebarkan kebencian terhadap Yahudi.

Seorang Profesor Sains Politik, Bruce Gilley, dikatakan mendakwa menuduh ahli politik Malaysia menggesa 'Holocaust kedua' terhadap orang Yahudi dan juga menyerang bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, menurut kenyataan itu lagi, demi memastikan perkara berkenaan tidak berulang, UM juga sedang menambah baik prosedur dan garis panduan yang lebih ketat terutamanya semakan latar belakang mana-mana individu atau pihak yang akan bekerjasama termasuklah kajian penilaian risiko profil media sosial.

Jelasnya, UM turut mengecam kenyataan terbaharu individu tersebut berkenaan aspek keselamatan mengembara ke Malaysia.

"Ini merupakan kenyataan tidak bertanggungjawab dan melampau yang mencetuskan kemarahan seluruh rakyat Malaysia.

"Kami akan terus mendokong pendirian kerajaan yang menentang sebarang unsur berkait dengan Israel dan menyokong penuh usaha mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara merdeka yang sah," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!